topbella

Wednesday 12 December 2012

Membantu yang memerlukan

They need our help
Musim sejuk dah pun tiba. Salji pun dah mula turun. Bila musim sejuk tiba, mesti tempat yang panas menjadi kegemaran. Untuk aku yang berasal daripada negara khatulistiwa, kebanyakan masa akan dihabiskan di dalam bilik. Seboleh- bolehnya nak elakkan berada di luar sebab tak tahan dengan cuaca sejuk yang dibawah 0 darjah celcius. 
Alhamdulillah, aku punya tempat belajar dan tempat tinggal yang selesa. Tapi, bagi sesetengah orang yang tak ada tempat tinggal, mana diorang nak tidur dalam cuaca yang sejuk macam ni? Kesian jugak bila difikir fikirkan nasib homeless kat sini. Alhamdulillah, aku berpeluang untuk bersama- sama dengan satu NGO di sini yang membantu orang- orang yang memerlukan di musim sejuk ni, terutamanya homeless.
Projek ni bermula dari 1.12.2012 sehingga 28.2.2012. Mereka akan berusaha untuk membantu sedaya yang mungkin. Sebuah bangunan dijadikan tempat untuk menjalankan projek ni. Di sana, bermula jam 8 malam, klien (homeless) akan datang dan mereka akan diberikan keperluan untuk menghadapi musim sejuk. Contohnya, selimut, baju sejuk, makanan, minuman, dan bagi yang sakit, mereka akan mendapat rawatan percuma. Beberapa katil disediakan untuk klien yang sakit. Aku bersama- sama seorang doktor, paramedik dan 2 orang medic student from czech cuba membantu klien dengan memberikan rawatan asas seperti mencuci luka dan menukar bandages. Mereka selalunya memerlukan rawatan kesihatan dan disebabkan status mereka sebagai homeless, sangat susah untuk mereka mendapat rawatan di hospital. Dengan adanya projek ini, sekurang- kurangnya mereka tidak terbiar dan kesihatan mereka dapat dipantau.
Semalam, aku berjumpa dengan 4 orang klien yang memerlukan rawatan. Memandangkan projek ini baru bermula, bilangan klien tidaklah terlalu ramai. Aku membantu mereka menukar bandages, mencuci luka, melakukan necrectomy dan melakukan beberapa  physical examination untuk memastikan masalah kesihatan mereka tidak serius. Mujurlah ada antara mereka yang cuma demam, selesema dan batuk. Mereka diberikan ubat percuma. Beberapa orang klien dibenarkan bermalam di situ sehingga keesokan harinya. Walaupun bantuan yang aku berikan tidaklah seberapa, namun sekurang- kurangnya mereka mendapatkan rawatan dan bagi pihak aku sendiri, aku dapat belajar sesuatu yang baru. Aku dapat mempraktikkan apa yang aku pelajari dan ia mengajar aku erti bersyukur dengan nikmat yang aku perolehi. Jika luka mereka tidak dijaga dengan baik, kemungkinan besar nyawa mereka juga akan terancam dengan pelbagai jenis jangkitan. 
Aku terkesan dengan seorang klien yang datang untuk mendapatkan rawatan. Dia masuk ke bilik rawatan dengan pakaian yang agak smart (kemeja dan berseluar slack). Aku sendiri tertanya- tanya sama ada dia benar- benar seorang homeless. Dia kemudian menceritakan yang dia baru sahaja sehari menjadi homeless setelah diisytihar muflis. Sepatutnya dia berada di hospital untuk menjalani pembedahan (right nephrectomy) tapi dengan statusnya sekarang, dia tak dapat meneruskan pembedahan tersebut. Dia menghadapi impetigo (sejenis penyakit kulit akibat jangkitan bakteria) dan kami membantunya mencuci luka- luka tersebut dan membuat dressing. Dia kemudiannya bermalam di situ.
Aku terfikir yang dalam tempoh yang singkat, seseorang boleh kehilangan segala-galanya. Seperti lelaki itu yang menjadi homeless dalam masa sehari, aku melihat dia sebagai seorang yang sangat kuat. Tidak kedengaran rasa putus asa dalam nada suaranya ketika dia bercerita kepada kami. Mungkin bagi sesetengah orang, apabila diisytiharkan muflis, pasti mereka merasakan seperti dunia dah berakhir. Tapi, aku nampak kekuatan dalam diri lelaki tersebut. Semoga suatu hari nanti dia dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa. 
Ia mengajar aku rasa bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan kepadaku. Pada bila- bila masa sahaja Allah boleh menarik semula nikmat tersebut dan jika ia benar- benar berlaku, aku mohon agar diberikan kekuatan untuk menghadapinya. Kerana aku yakin setiap yang berlaku adalah ujian untuk kita menjadi seorang hamba yang lebih kuat. InsyaAllah..


Friday 7 December 2012

Neurosurgery & Neurology


Sekarang ni tengah rotation neurology. Sistem pembelajaran kat sini sangatlah pelik. Sepatutnya orang belajar neurology dulu. Pastu baru belajar neurosurgery. Tapi, bagi kes kami di sini, terbalik pulak. Belajar neurosurgery dulu pastu baru neurology. So, setiap kali lecture masa neurosurgery dulu, doktor mesti kata, "it' okey if you don't know it since you don't have neurology yet." Dah ramai senior- senior yang sebelum ni complain kat dean tapi tak ada tindakan pun. Maka terkapai kapailah budak English parallel sebab kurang basic neurology (budak Czech parallel mula dengan neurology dulu, tak aci kan...). Kalau nak harapkan ilmu daripada first year dulu memang susah la nak ingat sebab dah 4 tahun tinggal. Mana yang penting- penting je ingat tapi tu pun masih banyak yang kurang.
Dulu, masa belajar (rasanya, masa kat mrsm lagi), dah bercita- cita nak jadi neurologist. Tak tau kenapa neurology yang menjadi pilihan masa tu. Walaupun tahu je yang belajar neurology bukannya senang..Cita- cita tu terus ada sehinggalah aku menjejakkan kaki di bumi Czech ni. Sekarang, bila dah belajar neurology, memang macam ada satu tarikan pada subject ni. Minat aku untuk belajar subject ni tak sama bila aku belajar subject- subject yang lain. Tapi, memang betul yang subject neurology bukanlah mudah. Banyak benda yang perlu diingat dan difahami. Walaupun pilihan kedua aku adalah cardiologist, namun ia masih samar- samar. Mungkin aku belum lalui rotation Internal Medicine- Cardiology lagi kot. Nanti lepas dah mula rotation cardiology, barulah boleh fikirkan kembali mana satu yang lebih menarik: Neurology vs Cardiology. 
Bila belajar neurology, memang banyak perkara menarik yang dapat aku ketahui. Kadang- kadang bila kita jumpa seseorang kat tepi jalan, dengan melihat cara dia berdiri,berjalan, bercakap etc, kita dah macam boleh buat differential diagnosis tentang penyakit yang mungkin orang tersebut hadapi. Menarik kan???(^_^) Sekurang- kurangnya dapat jugak kita aplikasikan apa yang telah dipelajari. Macam hari tu baru sahaja belajar pasal Parkinson's disease (PD) dan semasa perjalanan balik ke rumah, nampak seorang pakcik dengan isteri dia tengah berusaha nak turun tangga ke Metro. Memang yang terlintas di fikiran masa tu adalah pakcik ni mungkin ada PD sebab cara pakcik tu berjalan memang typical untuk orang yang ada PD. 
Apa- apa pun, aku ada lagi 2 minggu rotation neurology (total 4 minggu). Dalam tempoh 2 minggu ni memang aku belajar banyak benda baru menarik. Tapi sekarang tengah study jugak untuk exam neurosurgery. Walaupun dua subject ni nampak macam sama, tapi hakikatnya memang banyak perbezaannya. Pastu neurosurgeon dengan neurologist pulak macam selalu saja tak sependapat (>_<)..haha  

Saturday 1 December 2012

Oh Czech Republic, tempat menuntut ilmu...

Czech: negara merah di tengah- tengah negara hitam yang lain
Baru- baru ni di facebook banyak isu berkaitan Palestin. Daripada jenayah dan kezaliman yang dilakukan oleh rejim zionis terhadap umat Islam di Gaza sehinggalah ke isu pengundian di United Nation. 
Pada awalnya semua umat Islam bersedih dengan kejadian yang menimpa penduduk Gaza. Pelbagai usaha dilakukan termasuklah sumbangan kecemasan dan juga boikot yang bukan sahaja dilakukan oleh umat Islam tetapi juga masyarakat dunia lain yang berperikemanusiaan. Isu Palestin bukanlah sekadar isu umat Islam tetapi juga isu kemanusiaan. Tak lama selepas itu, berita gembira mula tersebar apabila undian di UN berpihak kepada Palestin untuk menjadi non- member observer state. Bibit- bibit kemenangan mula kelihatan. Alhamdulillah. Mesti Israel, US dan kroni- kroninya mengelabah dengan undian ni kan??? Padan muka.. =)
Tapi yang menyedihkan adalah antara 9 negara yang menolak undian tersebut adalah Czech Republic, negara aku menuntut ilmu. Sedih..sedih...Memang dah lama kami di sini tahu yang Czech memang menyokong Israel. Tapi, dikatakan yang orang atasan sahaja yang menolak undian tersebut tapi masyarakat Czech berbeza pendapat dengan mereka. Yang tu, aku sendiri kurang pasti kerana sepanjang hampir 5 tahun aku disini, apa yang aku nampak adalah mereka seperti tak mengambil tahu perihal Palestin dan Israel. Itu cuma pandangan kasarku. Mungkin dalam diam mereka memang menolak tindakan yang dilakukan oleh rejim zionis terhadap penduduk Palestin. 
Ada yang berpendapat Czech menjadi pembekal haram senjata- senjata kepada rejim zionis tapi aku sendiri tak dapat mengesahkan kebenarannya. Cuma, apa yang pasti, suatu ketika dulu, Czech adalah salah satu negara yang mempunyai ramai penduduk Yahudi. Apabila German menguasai Czech, orang- orang Yahudi di sini ditindas. Mereka dibunuh dengan kejam (holocaust). Ia seperti apa yang berlaku di Palestin sekarang ni. Ada juga yang dihantar ke concentration camp dan meninggal di sana kerana kebuluran, penyakit dan juga jangkitan typhus. Mungkin ini menjadi salah satu sebab kenapa mereka menyokong Israel. Namun, orang muda zaman sekarang lebih berfikiran terbuka dan mereka lebih berperikemanusiaan. 
Namun, perkara ini memang memalukan dan menyedihkan untuk aku yang belajar di sini. Aku belajar di sebuah negara yang memberi sokongan kepada Israel. Kami di sini cuba sedaya yang mungkin untuk memboikot syarikat- syarikat yang menyumbang kepada rejim zionis. Hanya itu yang mampu kami lakukan. Jika terlalu obvious, keselamatan kami juga akan terancam. Pihak kedutaan juga telah berpesan agar tidak terlalu memperlihatkan usaha kami menentang rejim zionis kerana bimbang mereka mempunyai agen khas yang dapat mengesan pergerakan kami dan boleh mengancam keselamatan kami di sini. Semoga, usaha kami yang walaupun kecil ini dapat kami persembahkan apabila ditanya di Padang Masyar nanti.   

Thursday 7 June 2012

Batch doktor pertama dari Czech

Tahun 2008: Bersama senior- senior di sini. Sebahagiannya adalah B01
yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka tahun ini. 
Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah..

Hanya itu sahaja yang mampu diungkapkan oleh semua pelajar medic di sini tatkala mendengar berita yang sangat menggembirakan. Buat pertama kalinya, bumi Czech akan menghantar pulang pelajar- pelajarnya yang telah berjaya mengharungi 6 tahun pengajian ke Malaysia. Mereka bakal bergelar MUDr (medicinae universae doctor) yang sama kelayakannya dengan M.D. Special kan title doktor dari Czech..Hehe..

Ya..6 tahun pengajian akhirnya sampai ke penghujungnya. Tahniah kepada senior- senior batch pertama yang datang ke Czech. Akhirnya, mulai tahun ini, Czech Republic akan mula menghasilkan doktor- doktor yang bakal berkhidmat kepada masyarakat. Aku hanya perlu menunggu lagi 2 tahun untuk menjadi seperti mereka.
Untuk kesemua senior yang telah menghabiskan exam mereka, tahniah..tahniah..tahniah. Untuk yang masih bertarung dengan SE, teruskan usaha dan masanya pasti akan tiba juga. 

Dulu, mereka datang ke Czech terutamanya di Prague dengan pengetahuan yang sedikit tentang ilmu perubatan. Mereka juga adalah batch pertama yang perlu menyesuaikan diri dengan keadaan di sini dan mereka lebih banyak mengalami kesusahan berbanding junior- junior yang hanya mengutip pengalaman senior batch pertama. Akhirnya, mereka bakal pulang ke Malaysia dengan ilmu yang penuh di dada, semangat yang berkobar- kobar untuk berkhidmat kepada masyarakat. 

Semoga senior- senior semua akan berjaya dalam kerjaya sebagai doktor. Semoga ukhuwah dan persahabatan yang terjalin di bumi Czech ini akan terus mekar dan berkekalan. Segala pengalaman dan memori 6 tahun bersama pasti tak akan dilupakan oleh junior- junior di sini. Rasa sedih pulak nak berpisah dengan senior- senior semua selepas 6 tahun perkenalan. Dah macam satu family dah pun..Huhuhu...
Memandangkan mereka adalah batch pertama, semoga segala expectation negara mahupun doktor di hospital nanti adalah baik. 

CONGRATULATION TO ALL MY SENIORS B01 IN PRAGUE, HRADEC KRALOVE & OLOMOUC. YOU HAD FINISHED YOUR MED SCHOOL & IT'S TIME TO START A NEW JOURNEY AS A REAL DOCTOR!!!!

My To-Do List

Lets do something and organize our time properly
Hari ni dah start cuti summer semester merangkap permulaan exam period. Yela, kat Czech ni, exam period dia jatuh dalam musim cuti. Kalau sapa dapat habis exam awal, maksudnya dia dapatlah bercuti lebih lama. Bila dah masuk 4th year, debaran di musim exam dah tak berapa ada sebab dah immune dengan exam kot. Mana taknya..Boleh dikatakan setiap minggu mesti akan ada satu exam menanti...So, sekarang nak buat to- do list untuk musim cuti tahun ni (^_^)

Exam ORL/ENT
InsyaAllah, ini adalah exam terakhir dalam tahun ni. Date exam pun dah register. 18 Jun 2012. Kalau semuanya dipermudahkan, insyaAllah aku bakal menamatkan 2/3 pengajian di sini. Tak sangka cepat betul masa berlalu. Cuma tinggal 1/3 sahaja lagi..Chaiyok!!!!

Uruskan application visa
Bila dah settle exam, nak kena settlekan visa pulak sebelum balik ke Malaysia. Erm, banyak jugak documents yang nak kena ambil sebelum pergi ke Foreign Police. Alhamdulillah, untuk tahun ni dapat buat reservation untuk buat visa. 3.7.2012 baru boleh buat visa sebab kena kira 90 hari daripada tarikh visa expired. Kalau tak dapat reservation, sama ada kena tidur di depan pintu Foreign Police atau bergerak seawal pagi (5 pagi) ke sana untuk beratur depan pintu. Dahsyat kan???Dah la setiap tahun kena mengharungi perkara yang sama. Memang satu pengalaman yang tak boleh dilupakan. Nasib baik la sekarang ni musim panas, jadinya kalau pukul 5 pagi pun dah macam pukul 7 pagi. Kalau kena tidur kat sana pun okey lagi sebab tak sejuk sangat kan..Cuma kalau hujan, memang susah la sebab kena tunggu tu di luar bangunan, bukannya di dalam.

Balik Malaysia!!!
Bila dah settle visa, masa untuk berangkat balik ke Malaysia. Yea!!! Tahun ni dapat cuti lama sikit sebab habis exam awal. Sekarang ni dah la musim buah kan? Tak sabar nak balik dan makan buah durian, manggis dan rambutan. Sedapnya...Haha..Planning nak balik 4.7.2012 hingga 27.9.2012. Tapi tiket flight sekarang ni sangat mahal. Hampir mencecah 1000 euro. Tapi, apa boleh buat kan..Mahal pun mahal la kan. Yang penting dapat balik jumpa family dan beraya bersama family. Cuma masalahnya sekarang ni adalah sama ada nak turun di KLIA pastu ambil bas di pudu ke Kulim atau dari KLIA ambil flight ke Bayan Lepas. Nak buat decision tu pun agak susah sebab kalau abang ada di Kulim, boleh la dia tolong ambil kat Bayan Lepas. Erm...xpela, yang tu kita fikir kemudian..Wah..tak sabarnya nak balik!!!!

Summer Practice Surgery
Seminggu berada di rumah, dah nak kena bergerak ke KL untuk buat praktikal surgery di PPUM bermula 16.7.2012 hingga 3.8.2012. Terpaksa la berpuasa di KL selama 2 minggu sebelum balik ke Kulim. Masalah sekarang ni adalah penempatan selama 3 minggu di sana. Setakat ni tak ada response daripada pihak universiti untuk kami tinggal di asrama. Walaupun permission dah dapat untuk buat praktikal di sana, tapi sekarang tengah tunggu permission daripada pihak universiti pulak. Hopefully, kami dibenarkan tinggal di asrama UM sebab kalau nak tinggal di luar UM, setiap pagi nak pergi ke hospital memang susah la kan.

Melawat sekolah lama
Dah lama dah niat nak pergi melawat cikgu- cikgu di sekolah lama tapi tak berkesempatan. Harapnya, tahun ni dapat la ke sekolah lama kan. Plan nak ke SKPG jumpa cikgu- cikgu sekolah rendah. Lepas berpindah daripada Penaga ke Kulim, rindu pulak nak jumpa kawan- kawan lama di Penaga dan juga cikgu- cikgu yang pernah mengajar aku. Pastu, setiap kali balik ke rumah daripada Kulim, mesti lalu depan Kem PGA di mana terletaknya MRSM Kulim. Teringin jugak nak jumpa cikgu- cikgu di sana tapi tak pasti cikgu mana yang still ada di sana. Takut nanti ramai cikgu baru yang aku tak kenal..Tapi, terubat la jugak rindu bila lalu depan kem, nampak student kat dewan makan dengan kat bangunan akademik. Teringat zaman sekolah menengah dulu..Hahaha..

Erm, banyak jugak planning untuk tahun ni. Kalau ikutkan banyak lagi benda nak buat, tapi bila fikirkan cuti cuma lebih kurang 3 bulan, kena la gunakan cuti ni sebaiknya kan. Kalau boleh nak spend time dengan family la kan. Apa- apa pun, ini sekadar perancangan manusia. Namun, perancangan Allah adalah yang pasti. Semoga dipermudahkan segala urusan..

Tuesday 5 June 2012

Becoming an assistant in surgery

Gambar hiasan: Best experience ever in operation room
when you had a chance to assist in the surgery
Buat pertama kalinya selepas menjadi pelajar perubatan, aku diberi peluang untuk menjadi pembantu dalam operation yang berlangsung. Berdebar jugak rasa hati memandangkan ada saja case student yang assist surgery pengsan dalam operation room.
Untuk subject ENT, semua student diwajibkan untuk terlibat dalam operation sekurang- kurangnya sekali sepanjang rotation ENT. Doktor di hospital menggunakan seorang student medic sebagai assistant dalam surgery yang akan berlangsung. Aku berpeluang untuk menjadi assistant sebanyak dua kali. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.
Untuk operation yang pertama, aku dijadualkan untuk tolong dalam operation total thyroidectomy tapi operation tue delay sehingga ke petang dan aku ditukarkan ke operation yang lain. Jadi, aku terlibat dengan operation of oropharyngeal cancer. Aku diajar tentang macam mana nak scrubbing sebelum dibenarkan untuk assist dalam surgery tu. Rasa macam dah jadi doktor plak walaupun sekadar membantu (^_^) First time nak assist dah kena tengok sesuatu yang menakutkan sebab surgical field sangat besar di sepanjang leher. Boleh nampak semua structure penting yang ada di leher. Surgery tu berlangsung selama 4 jam dan aku mula masuk ke operation room pada pukul 12.30 tengahari. Ditambah dengan rasa lapar, aku dah rasa macam nak pitam sebab operation yang terlalu lama. Bau hanyir darah macam melekat di olfactory bulb dan tak mau hilang. Setiap kali bernafas, bau darah yang masuk ke dalam hidung walaupun pakai mask. Aku cuba bertahan dan doktor yang bertanggungjawab mintak aku tolong pegangkan retractor untuk dia menjahit. Disebabkan aku tak boleh bergerak, aku cuba bertahan dengan rasa lenguh di tangan. Alhamdulillah aku berjaya jugak selesaikan surgery tu walaupun rasa macam nak pitam. Bila balik rumah, terus collapse sebab penat dan pening dengan bau darah yang tak nak hilang daripada hidung nie..Huhu..
Untuk surgery yang kedua adalah total thyroidectomy. Di Czech, doktor yang mengajar lecture tentang thyroid gland kata 800 operation total thyroidectomy di adakan setiap tahun di hospital tersebut. No wonder boleh dikatakan setiap hari akan ada lebih kurang 3 atau 4 total thyroidectomy. Untuk operation kali ni jauh lebih baik daripada yang pertama. Walaupun surgery cuma 2 jam, tapi perasaan nak pitam tu dah tak ada. Bau darah pun langsung tak seteruk hari pertama. Alhmadulillah. Kali ni, rasa lenguh kat tangan saja yang paling teruk sebab memang langsung tak boleh nak bergerak bila doktor tu mintak tolong pegangkan retractor. Memandangkan doktor tu nak electrocoagulate dan ligate blood vessel yang pergi ke thyroid gland satu per satu, aku yang memegang retractor terpaksa menderita sebentar sebab tak nak perkara yang tak diingini berlaku. Habis saja operation kena continue dengan lecture. Memang satu benda pun dah tak boleh nak masuk dalam kepala sebab dah terlampau penat. Apa- apa pun, pengalaman pertama ni sangatlah menarik dan bermanfaat.
Bukan senang nak dapat peluang untuk menjadi assistant dalam surgery tapi doktor- doktor di sini sangat percayakan student dan cuba mengajar kami dengan semampu yang mungkin.

Looking forward for Summer practise surgery in Malaysia. It will be 3 weeks practise in PPUM starting from 16th July until 3rd August. Hopefully I will get many experiences and information which will be useful in my study. I just need to wait for about 1 month and then I will be in Malaysia for summer holidays..yea!!!!
I really miss my family and can't wait to meet them (^_^)

Sunday 27 May 2012

Penangan Running Man


Kalau sebut pasal Running Man, mesti ramai yang tahu kan? Tapi, aku sedikit ketinggalan dalam cerita ni. Tapi, sekali dah tengok, memang tak boleh nak berhenti. Kuat betul penangan Running Man ni kat penonton- penonton dia.
Dulu, kalau ada orang sebut pasal Running Man, aku langsung tak berminat nak tahu apa benda ni. Ada la jugak kawan- kawan kat sini yang follow cerita ni selalu bercerita kat aku pasal program tv ni tapi langsung tak terlintas di hati nak tengok. Satu hari, masa tengok hot cerita The Moon that Embraces the Sun, keluar berita kata Han Ga In akan jadi guest untuk Running Man (RM). Masa tu lah, baru aku tahu apa itu RM (^_^)
Aku start tengok episod yang Han Ga In jadi guest. Masa mula- mula tengok, pelik jugak dengan cerita dia. Main kejar- kejar, pastu cabut tag nama orang dan orang tu akan terkeluar. Tapi, first impression aku pada cerita ni adalah ia satu program tv yang menarik dan lain dari yang lain. 
Jadinya, aku memberanikan diri untuk start dengan episod 1. Memang tak dinafikan yang ia memang menarik. Sekurang- kurangnya dia bukanlah typical drama korea yang kita boleh expect apa yang akan terjadi. Setiap episod akan ada perkara- perkara baru yang penonton tak jangkakan. Sekurang- kurangnya dapat la jugak hilangkan stress study sebab bila tengok je RM, memang tak kering gusi la sebab terhibur dengan gelagat member- member RM. Aku cuma jadikan dia sebagai hiburan sampingan selepas penat mengulangkaji pelajaran. 
Tak sangka pulak yang RM nie dah lama wujud cuma aku saje yang tak tahu. Memang ketinggalan zaman betul la kan. Tapi, betul la kata orang. Sekali kita dah ikut sesuatu cerita korea tu, memang susah sangat nak berhenti. Macam ada satu virus yang sangat resistant kepada semua jenis ubat. 
Bercerita pasal RM, member yang paling aku suka adalah Kim Jong Kook/ Sparta/ Commander/ Kookie (^_^) Walaupun dia nampak macam pembuli tetapi hakikatnya dia seorang yang respect orang lain. Aku perasan cara dia treat guest perempuan untuk program tu. Dia akan cuba minimize skin contact dengan guest perempuan supaya diorang akan rasa selesa semasa sesi pengambaran. Aku baru tahu yang dia adalah seorang penyanyi dan lagu- lagu yang dinyanyikan kebanyakkannya best- best je. Dia ada banyak talents yang membuatkan dia outstanding among other members. RM members yang lain pun tak kurang hebatnya. Masing- masing ada bakat tersendiri yang menjadikan variety show RM diminati ramai. Bukan senang nak kumpulkan peminat daripada pelbagai negara dan setakat yang aku tahu RM memang sangat terkenal di banyak negara termasuklah malaysia.
Kata orang, berhibur itu boleh tetapi kenalah berpada- pada. Kalau hiburan itu sekadar untuk menghilangkan stress, tak ada salahnya. Janganlah terlalu fanatik sehinggakan lupa akan tanggungjawab kita yang utama, sebagai contoh: belajar. Pelajaran harus diutamakan tetapi masa untuk berehat juga harus diperuntukkan untuk kesihatan otak dan badan kita.
Apa- apa pun Running Man daebak!!!!   

Friday 25 May 2012

Pani, to neni zima

Sekarang dah masuk musim panas. Cuaca di Prague semakin hari semakin panas. Kadang- kadang mencecah 27 degree celcius. Saat sebegini adalah cabaran yang besar bagi kami, pelajar Muslim di sini. Yang paling tercabar adalah muslim semestinya sebab ketika inilah iman akan tercabar dengan pandangan- pandangan yang tidak di ingini. Faham- faham je la kan...
Bagi muslimat pulak, cabarannya pasti berbeza. Musim panas macam ni, kami menjadi tumpuan dan perhatian ramai. Orang akan tengok dari kepala sampai ke kaki. Mungkin sebab pelik dengan cara kami berpakaian kot. Yela, tiada perbezaan dalam berpakaian sama ada musim panas atau musim sejuk. Tetap bertudung, berbaju lengan panjang dan berskirt labuh atau berseluar panjang. Sedangkan bagi orang- orang di sini, bila musim panas tiba, kebanyakan orang akan berpakaian nipis atau berpakaian yang macam dah tak cukup kain. (^_^) Mesti diorang pelik kot kenapa la budak- budak ni boleh bertutup macam tu sedangkan cuaca sangat panas. Apa- apa pun, ia bukannya satu kesalahan untuk berpakaian kan. Cuma, personally, aku agak rimas bila orang asyik melihat kita dari atas sampai bawah. Menjadi orang yang asing dalam sesuatu komuniti bukanlah satu perkara yang mudah. Tapi, semua tu harus diharungi dan ia menunjukkan yang kita adalah orang yang berprinsip. Bukan macam lalang yang boleh digerakkan angin ke kiri atau ke kanan.
Semasa aku dalam perjalanan balik ke rumah selepas selesai State Exam Hygiene & Epidemiology, aku disapa oleh seorang pakcik. Mungkin aku yang memakai baju kurung dan berkot menjadi perhatian diorang. Pakcik tu berkata: 
"Pani, to neni zima."
Ia membawa maksud "Puan, sekarang dah tak sejuk".
Hanya senyuman yang mampu aku balas kepada pakcik tu. Bagi orang- orang di sini, diorang sangat hairan bila kita tetap memakai tudung meskipun sekarang adalah musim panas. Mereka berpendapat yang ia adalah sekadar fesyen dan bukannya kewajipan agama. Meskipun dunia semakin maju dengan teknologi, ilmu berkaitan Islam masih belum sampai kepada mereka. Pernah sekali aku pernah ditarik tudung oleh seorang lelaki ketika melintas jalan. Itu adalah pengalaman yang paling menakutkan pernah aku lalui ketika berada di sini. Hampir- hampir menitis air mata bila mengenangkan perbuatan lelaki tersebut. Mujurlah dia tidak melakukan perkara yang lebih teruk daripada itu. Semua perkara memang tak boleh dijangka dan apa yang mampu aku lakukan adalah sentiasa meminta perlindungan daripada Allah setiap kali aku mahu keluar dari rumah. Hanya Allah sahaja yang mampu melindungi aku daripada semua perbuatan jahat manusia. 
Islam adalah asing di sini. Muslim di sini pasti akan dipandang pelik meskipun komuniti Islam semakin ramai. Kami di sini seperti duta kecil dan khalifah yang menjadi perhatian ramai. Setiap perlakuan dan perbuatan kami pasti akan diperhatikan. Meskipun kami tak dapat nak berdakwah secara terus kepada orang- orang di sini, semoga dengan perlakuan dan tingkah laku yang kami tonjolkan dapat membuka mata mereka tentang agama Islam yang sentiasa disalah anggap. Semoga mereka dapat mengetahui agama Islam adalah agama yang selamat dan membawa keamanan, bukannya pengganas seperti yang dikatakan.

Sunday 18 March 2012

Sakit adalah kafarah dosa

Janganlah bergantung kepada ubat dan doktor untuk sembuh
sebaliknya letakkan kebergantungan itu kepada Allah swt.
Setiap kali peralihan musim berlaku, hatiku gementar dan takut. Takut sekiranya penyakit yang melanda diriku akan menyerang kembali. Ya..sekarang, berlaku peralihan musim daripada musim sejuk ke musim bunga. Perkara yang aku takutkan berlaku sememangnya berlaku. Walaupun pelbagai cara yang aku lakukan untuk mengelakkannya daripada berlaku, dengan kuasa Allah, ia tetap berlaku. Aku sekadar hamba yang lemah tidak punya kuasa untuk menghalang kesakitan ini daripada berlaku. Aku terima dengan hati yang redha setiap ujian dan kesakitan yang menimpa kerana aku yakin akan perancangan Allah terhadapku.

" Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput daripada kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri." (Surah Al- Hadid: 22-23)


Rasulullah saw bersabda: "Tidaklah seorang muslim tertimpa kelelahan, sakit, gelisah, sedih, susah atau rasa sakit meski hanya duri yang menusuknya, kecuali Allah 'azza wajalla akan menghapuskan kesalahannya." (Hadis riwayat Ahmad) 

Dulu, aku selalu mengeluh tatkala aku diuji dengan kesakitan ini. Aku tertanya- tanya, "kenapa mesti perkara ini terjadi kepadaku?" Aku seolah- olah mempersoalkan ketentuan Allah. Namun, bila masa berlalu dan aku semakin matang, aku mula sedar yang aku silap. Aku tidak sepatutnya menyalahkan takdir dan ketentuan Allah. Kerana aku tahu, ujian dan kesakitan yang menimpa diriku adalah salah satu cara untuk Allah mengampunkan dosa- dosaku. Tapi, sekiranya aku mengeluh dan tidak menerima ujian ini dengan sabar, sudah pasti ia bukan lagi kafarah dosaku. Bahkan menambahkan dosaku kerana mempertikaikan ketentuan Allah. Tapi, sekiranya ia ditempuh dengan redha dan sabar, pasti Allah akan kurniakan ganjaran yang dijanjikanNya.

"Dan musibah apa pun yang menimpa kamu adalah kerana perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (dari kesalahan- kesalahanmu)." (Surah Asy- Syura: 30)

Ya, aku tahu bahawa kesakitan yang aku alami sekarang ini adalah akibat perbuatanku sendiri. Aku dulu pernah lalai dan alpa dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Walaupun sekarang aku bukanlah seorang yang cukup sempurna, sekurang- kurangnya aku mula berubah dan berusaha untuk berubah ke arah kebaikan. Ia bukanlah sesuatu yang mudah apabila pelbagai perkara di sekelilingku seringkali menjauhkan aku daripada kebaikan. Bila berada di luar negara dalam komuniti Islam yang sedikit dan Islam dipandang asing, aku sedar betapa specialnya aku sebagai seorang muslim. Sejujurnya, aku lebih mengenali dan memahami Islam yang sebenar apabila aku berada di Czech Republic berbanding di Malaysia. Sebuah negara Barat yang memperlekehkan umat Islam menjadikan aku seorang yang bangga dengan Islam. Aku bersyukur dihantar ke Prague kerana di sini, aku belajar untuk berubah dan menjadi seorang yang lebih baik. Semoga, aku akan lebih tabah dan sabar dalam mengharungi ujian dan dugaan yang menimpa diriku. Aku hanya mahu mengutamakan penilaian Allah terhadapku dan bukannya penilaian manusia. Kebaikan di sisi Allah jauh lebih bererti daripada kebaikan yang dinilai oleh manusia di sekeliling kita. Jom jadikan Allah sebagai cinta pertama kita!!!!

Setiap kali ditimpa kesakitan atau kesusahan, ayuh kita renung kembali dosa- dosa kita yang lalu dan beristighfar kepadaNya. Semoga Allah mengampunkan dosa- dosa kita. Perbanyakkan muhasabah diri kerana Allah sangat sayangkan kita, maka dengan itu Allah menguji kita supaya kita sentiasa ingat kepadaNya. Itu juga sebagai tanda perhatian Allah terhadap kita. SEBAB ALLAH SWT SAYANGKAN KITA (^_^)


 

Friday 16 March 2012

Mum..No. 1 For Me

Beberapa hari yang lepas dah mula perasan ramai orang yang letak link video ni di FB tapi tak berkesempatan untuk buka dan dengar. Hari ni baru berpeluang. SubhanAllah..hanya itu sahaja yang terfikir semasa mendengar  lagu yang dinyanyikan oleh orang yang tak asing lagi iaitu MAHER ZAIN. Pertama kali mendengar mampu membuatkanku menitiskan air mata. Dengan suaranya yang cukup menenangkan ditambah dengan lirik lagu yang sangat mendalam maksudnya, memang suatu keistimewaan dalam lagu- lagu ciptaan Maher Zain. Jom dengar lagu Maher Zain: Number One For Me...
Tiba- tiba hatiku sebak bila memikirkan bait- bait muzik yang dinyanyikan olehnya. Sekarang umurku telahpun mencecah 24 tahun. Suatu ketika dulu, aku juga pernah merasai kehidupan sebagai seorang kanak- kanak. Kehidupan di kampung menjadikan aku seperti kanak- kanak kampung yang lain yang masa sehari- harinya dipenuhi dengan keseronokan dan permainan. Pengalaman2 tersebut memang takkan aku lupakan. Mungkin ada ketikanya aku membuatkan ibu bapaku gelisah, sedih, risau, menangis dan pelbagai perasaan lagi. Tapi saat itu, aku belum mengetahui maksud sebenar kehidupan.
"Maafkan anakmu ini yang suatu ketika dulu mungkin pernah mengguris hati dan perasaan mak dan ayah".

Abu Hurairah r.a berkata:
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah saw dan bertanya:
"Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik- baiknya?"
Baginda menjawab: "Ibu kamu."
Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"
Baginda menjawab: "Ibu kamu."
Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?" 
Baginda menjawab: "Ibu kamu."
Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?"
Baginda menjawab: "Ayah kamu." -HR Bukhari-


MUM: YOU'RE THE NUMBER ONE FOR ME. I LOVE YOU SO MUCH...

*mode homesick dan tak sabar nak balik bercuti summer semester ni.

Saturday 18 February 2012

Semester baru, cabaran baru.

Hari Isnin, 20.02.2012, akan bermula semester baru untuk tahun ini. Ini bererti, lebih banyak lagi cabaran yang bakal muncul di depan mata. Begitu juga dengan pengalaman- pengalaman baru dan menarik yang bakal aku tempuhi sepanjang 15 minggu sesi pengajian. 15 minggu dengan 6 subjek baru. Walaupun sedikit jika dibandingkan dengan semester sebelumnya, tetapi subjek- subjeknya jauh lebih mencabar. Infectious disease, dermatovenerology, ophthalmology, orthopedics, surgery dan ORL/ENT. Masa berlalu dengan pantas dan selepas tamat semester ni, aku dapat pulang ke kampung menemui keluarga tercinta. "Semoga Allah swt mempermudahkan segala urusanku. Amin..."
Alhamdulillah, aku berjaya menempuhi semester sebelumnya dengan baik. Semoga semester baru ini juga akan jauh lebih baik daripada sebelumnya. Dulu, aku sangat takut apabila memikirkan apa yang akan berlaku setelah aku berada di 4th year. Sistem pembelajaran telah bertukar kepada sistem rotation dan yang paling merisaukan aku suatu ketika dulu adalah exam yang perlu dirancang dengan sebaiknya supaya tak terkumpul di penghujung semester. Setelah melaluinya, aku bersyukur kerana aku berjaya mengharungi perkara yang aku risaukan selama ini. Bila difikir- fikirkan semula, ia bukanlah sesuatu yang sangat merunsingkan. Mungkin kerana perubahan sistem daripada teori kepada rotation membuatkan sesiapa saja risau memikirkan kemungkinan- kemungkinan yang bakal berlaku. Bagiku, prinsip yang aku pegang adalah mudah.
"Jika orang lain mampu melakukannya, aku juga pasti mampu melakukannya. Jika diizinkan Allah swt".
Semoga semester baru nanti dapat menjadikan aku lebih matang sama ada dalam pembelajaran mahupun kehidupan. Aku masih di tahun ke 4 dan berbaki 2 tahun lagi sebelum aku mampu bergelar seorang doktor. Tahun ini juga, beberapa orang kawan- kawanku sama ada di dalam mahupun di luar negara akan menamatkan pengajian perubatan mereka dan memulakan fasa baru dalam hidup mereka yang bergelar HO. Semoga semua orang sama- sama tabah dalam mengharungi setiap urusan di dunia ini. Baik yang masih belajar sepertiku mahupun yang akan/ telah bekerja.  

"Ya Allah, tidak ada yang mudah melainkan apa yang Engkau jadikannya mudah, dan Engkau dapat mengubah yang sulit menjadi mudah bila Engkau kehendaki." (HR Ibnu Hibban)

Thursday 9 February 2012

Apabila medic student dirawat oleh dentist student..

Satu malam, selepas selesai study, aku membersihkan diri sebelum tidur. Rutin harian aku memang seperti itu melainkan kalau terlelap sampai pagi tanpa sedar. Bila gigi digosok, tiba- tiba terasa sakit. Bila diteliti betul- betul, rupanya ada cavity kat first molar. Bila minum air sejuk, lagi bertambah sensitif gigi tu. Aku jadi takut sebab bila sakit kat sini, benda yang paling aku tak suka adalah pergi ke klinik atau hospital. Language barrier adalah salah satu sebab kenapa susah nak berkomunikasi dengan doktor di sini. Kadang- kadang tu jadi macam ayam dengan itik sebab tak faham. Aku yang faham bahasa czech sikit- sikit pun susah nak jawab kalau doktor tanya soalan pelik- pelik. 
Mujurlah aku baru selesai rotation stomatology untuk semester ni. Aku pun hantar email kepada prof yang pernah mengajar kami sebab dia pun seorang doktor gigi. Aku ceritakan masalah aku kat dia dan dia mintak aku datang ke klinik di Katerinska hari Rabu sebab ada dentist students daripada English parallel. DENTIST STUDENT???? Alamak..aku kecut perut pulak nak pergi sebab takut dirawat oleh pelajar yang belum diiktiraf  menjadi doktor gigi. Tapi memandangkan sekarang waktu cuti, aku expect tak ramai international students yang ada di Prague sebab mesti diorang dah balik ke negara masing- masing untuk bercuti. Aku pun memberanikan diri untuk pergi ke sana.
Bila hari yang dijanjikan tiba, aku ke sana dan menunggu di luar bilik rawatan. Kemudian, prof keluar untuk jemput aku masuk. Dia cakap dentist student yang akan merawat aku. Rupa- rupanya ramai jugak yang ada masa aku pergi tu. Tanggapan aku salah nampaknya. 2 orang students datang dan diorang ambil history aku sebelum memulakan rawatan. Kedua- duanya dari Cyprus dan sekang dah final year. Alhamdulillah, hilang sikit rasa takut di dada. Bila salah seorang periksa gigi yang aku maksudkan, dia cakap:

Dentist student: We need to do scaling to remove some calculus and plague. Then, we do the X ray. After that we can diagnose your problem.
Me: Okey. No problem.

Semasa proses scaling, ramai betul dentist student yang datang mengelilingi tempat aku. Naik segan jugak aku dibuatnya. Tapi, aku buat biasa je la. Selesai scaling, X ray diambil dan diagnosis di buat. First molar aku dah kena caries dan perlukan filling untuk tutup cavity. 
Paling lawak bila prof tu perkenalkan aku kepada pelajar- pelajar dia.

Prof: She is from Malaysia. I told them about gutta percha in their class but none of them know about it. Even, student from Malaysia don't know it.
Me: I know. After you mentioned in the class, I search in the Internet about it. I know what is gutta percha and how it is produced.
Prof: So, can you tell us about the tree. How big it is? How they get the gutta percha?
Me: (Explain kat diorang pasal pokok getah dan macam mana orang toreh getah)
Lawak je la prof tu. Dia sangat excited pasal gutta percha dan sempat lagi dia interview aku pasal benda ni.

Habis berbual, prof suruh student yang merawat aku untuk buat mandibular block. Alamak, kena local anasthesia ke? Mandibular block plak tu. Bukan sebarang injection sebab kena cari betul- betul mandibular nerve yang terletak kat entrance of mendibular canal. Habis la aku kali ni. 

Preparation dibuat untuk injection of local anesthesia. Seorang student mengajar student yang bertanggungjawab ke atas aku. Dalam hati aku, "Dia nie first time ke nak inject anesthesia?" Habis la aku macam ni. Berdebar- debar hati aku. Bila dia start nak inject, aku mohon kepada Allah swt agar dipermudahkan semua urusan dan agar aku tak merasa sakit. Alhamdulillah, dia berjaya inject dan aku pun tak merasa terlalu sakit. Bila ubat dan bertindak, sebahagian mulut aku di bahagian bawah sudah hilang deria rasa. Proses composite filling dibuat.
Dentist student tu pun senang nak terangkan kat aku apa masalah yang aku hadapi, procedure apa yang diorang akan buat dan macam- macam lagi la. Sebab aku medic student dan dia boleh guna medic term untuk terangkan kepada aku. Selain tu, sebab diorang boleh cakap English. Kalau nak explain masalah kat pesakit, memang susah kalau kena guna bahasa czech. Perkara yang sama untuk semua medic dan dentist student di sini.  Seronok juga sebab dapat berbual dengan diorang. Diorang sangat friendly dan relax je. 
Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Mantap betul student- student tu sebab diorang dah boleh buat semua benda sendiri. Cuma perlukan supervision daripada prof je. Memang aku bagi 5 stars la kat diorang. 3 minggu lagi aku kena ke sana lagi sebab kena control. Alhamdulillah sebab tak kena bayar untuk rawatan ni. Katanya sebab aku membantu dentist student kat situ untuk buat practical. Bagusnya diorang dapat buat banyak practical. Kalau pergi klinik atau hospital mesti kena bayar. Alhamdulillah.



Friday 3 February 2012

Apabila suhu sejuk menyelubungi alam

Suhu di Prague
Sejak seminggu yang lalu, suhu di Prague semakin turun ke paras yang tidak disangka- sangka. Meskipun pada tahun ini, bumi Prague tidak diselubungi salji yang memutih, tetapi suhu yang sangat rendah mengejutkan semua orang. Pada mulanya, aku tidak merasai sebarang perubahan kerana aku banyak menghabiskan masa di bilik untuk mengulangkaji pelajaran. Tetapi, walaupun aku berada di dalam bilik, lama- kelamaan aku dapat merasai kesejukan tersebut terutamanya pada waktu malam. Bila aku merujuk kepada ramalan kaji cuaca, aku lihat suhunya mula menurun sehinggalah mencecah -18 degree celcius. Tak hairanlah aku di dalam bilik pun memakai baju yang berlapis- lapis untuk mengelakkan sejuk. Kalau ikutkan hati, dah lama aku ingin menyelimutkan diri dengan comforter yang sentiasa menarik perhatian aku. Tetapi bila difikirkan exam yang bakal menjelang, aku kuatkan tekad melawan kesejukan di dalam bilik. Namun, sejuk di dalam bilik memang jauh sekali bezanya dengan di luar. Sekurang- kurangnya aku masih mempunyai baju yang tebal dan heater yang berfungsi.
Baru- baru ini aku ke bank untuk mengeluarkan duit. Seperti yang disangka, suhu di luar memang sejuk. Walaupun aku memakai beberapa lapisan baju, kesejukan masih terasa sehingga membuatkan aku menggigil. Baru beberapa minit di luar, aku sudah tidak mampu bertahan. Cepat- cepat aku mengatur langkah untuk menyelesaikan urusan dan balik ke rumah. Kaki dan tangan terasa kebas disebabkan terlalu sejuk. Muka yang terdedah dengan angin membuatkan aku selesema. Memang kuat penangan suhu musim sejuk kali ini.
Tasik yang membeku membolehkan aku berjalan di atas permukaannya
Kemudian aku terbaca berita yang mengatakan suhu sejuk kali ini memang di luar jangkaan semua orang. Di Eastern Europe (Russia, Ukraine), suhu turun sehingga mencecah -30 degree celcius. Seramai lebih daripada 100 orang meninggal disebabkan cuaca yang terlampau ekstreme. Kebanyakannya adalah homeless yang tiada tempat untuk memanaskan badan. Suhu yang sejuk sebegini menyebabkan ramai orang menghadapi frosbite dan hypothermia. Dikatakan suhu sejuk pada tahun 2012 adalah yang terendah dalam tempoh 27 tahun.
Subhanallah...bila aku fikir- fikirkan semula, aku bersyukur dengan nikmat yang aku ada di saat ini. Jika nak dibandingkan dengan homeless, aku ada tempat untuk berlindung daripada suhu sejuk ini sedangkan mereka bersusah payah mencari tempat berlindung sehingga ada yang menemui ajalnya. Aku mempunyai pakaian yang tebal, heater yang berfungsi dan bilik yang panas yang dapat melindungi aku. Alhamdulillah ya Allah atas kurniaan ini. Suhu yang sedemikian adalah satu ujian daripadaMu untuk melihat sama ada hamba- hambaMu akan bersyukur dengan nikmat yang telah Engkau kurniakan. Seharusnya kita tidak boleh mengeluh dengan ujian yang diturunkan sebaliknya kita harus  muhasabah diri dengan segala kejadian yang berlaku. Namun, manusia kadang- kadang tidak dapar lari daripada mengeluh apabila ditimpa sesuatu musibah. Jika itu berlaku, perbanyakkanlah istighfar. Semoga Allah mengampunkan dosa kita di atas kelalaian diri kita sendiri. Semoga kita terus menjadi hambaNya yang bersyukur.

"Sungguh, manusia diciptakan bersifat suka mengeluh. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah. dan apabila mendapat kebaikan (harta) dia menjadi kikir." (70: 19-21)

Semoga kita dijauhkan daripada sifat suka mengeluh dan kedekut. Semoga kita menjadi hamba yang bersyukur dan berlapang dada.  

Monday 30 January 2012

Si Buta Dengan Anjingnya

Semalam, selepas seharian penat menghafal nama- nama ubat yang sangat pelik, aku melepaskan pandangan ke luar tingkap. Hampir seminggu aku tidak keluar dari rumah. Sekadar duduk di dalam bilik menghadap buku- buku yang perlu dibaca. Pandanganku tertangkap kepada seorang pakcik buta yang sedang berjalan di taman di hadapan rumahku. Aku sekadar memerhatikan tingkahlaku pakcik itu dari kejauhan. Dia berjalan dengan dipandu oleh seekor anjing putih. Aku terus melihat sehinggalah pak cik itu hilang daripada penglihatan.
Ketika melihat pakcik tersebut, aku teringatkan cerita yang disampaikan oleh prof psychology yang mengajarku tahun lepas. Dia menceritakan bagaimana orang- orang buta di sini mampu meneruskan hidup tanpa perlu bergantung kepada orang lain. Katanya, di Czech, anjing yang digunakan oleh orang buta sangat special. Anjing seperti yang digunakan oleh pakcik tersebut dilatih untuk membantu orang- orang buta. Mereka menjalani special training untuk betul- betul layak dijual kepada pemiliknya. Tak hairanlah kalau harga anjing tersebut sangat mahal. Kata prof tersebut, harganya menyamai harga sebuah kereta di sini. Wow...terkejut aku mendengarnya. Tapi, skill yang anjing tersebut miliki memang tak dapat dinafikan.
Anjing itu dilatih untuk membawa tuannya ke tempat yang dikehendaki. Mereka akan dibiasakan melalui tempat- tempat yang tuannya selalu pergi. Jadi, bilamana tuannya hendak ke pejabat pos atau ke rumah kawan- kawannya, anjing itu pasti tahu jalan untuk membawa tuannya ke destinasi yang dikehendaki. Aku kagum mendengar cerita tersebut. Bahkan binatang juga tahu berkhidmat kepada tuannya. Semasa aku melihat pergerakan anjing dan tuannya di taman, aku perhatikan anjing tersebut berjalan dengan diekori tuannya tanpa rasa was- was. Anjing itu seperti mengetahui jalan mana yang harus dituju. Kemudian dia berhenti di tempat menunggu tram dan tugas tuannya pula untuk bertanya orang- orang di situ tram nombor berapa yang sampai supaya dia tidak tersalah menaiki tram. 
Ya, di sini, orang kurang upaya tidak pernah malu untuk keluar bergaul dengan orang ramai. Mereka mampu hidup berdikari meskipun buta, pekak, bisu ataupun berkerusi roda. Kadang- kadang aku sendiri kesihan melihat hidup mereka tetapi mereka mampu survive walaupun ada kekurangan pada diri masing- masing. Di Prague ini sendiri, segala kemudahan menitik beratkan hal orang kurang upaya. Pelbagai kemudahan disediakan kepada mereka. Antaranya, adalah satu line lurus yang menghubungkan tangga dan pintu masuk kawasan metro yang aku lihat digunakan oleh orang- orang buta untuk memandu mereka ke pintu masuk tersebut. Jadi, mereka dapat sampai ke sana tanpa perlu bergantung kepada orang lain.
Aku bersyukur kerana dilahirkan cukup sifat jika nak dibandingkan dengan mereka yang serba kekurangan. Bila kita melihat orang yang serba kekurangan, barulah kita tahu untuk bersyukur. Janganlah menyesal di kemudian hari apabila segala nikmat yang diberi ditarik satu persatu. Bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan oleh Allah swt. 

“Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Wednesday 25 January 2012

Cinta..Tunang..Kahwin...

I love You Because of ALLAH
Sejak memasuki tahun 2012 ni, ramai kawan- kawanku yang menamatkan zaman bujang masing- masing. Ramai yang telah menjadi tunangan orang, tak kurang juga yang telah menjadi isteri orang. Beberapa orang kawanku telahpun mempunyai cahaya mata dan bergelar ibu. Wah...begitu cepat masa berlalu. Tidak aku sangka suatu hari nanti aku juga akan menjadi seperti mereka. Tapi, masanya bukanlah sekarang kerana aku masih bergelar pelajar. Mungkin kerana umur telah mencecah 24 tahun, maka ramai kawan- kawanku yang telah pun bekerja mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga. Apa- apa aku gembira bagi pihak mereka. Semoga masing- masing akan berbahagia dengan pasangan masing- masing. Semoga kehidupan mereka diberkati Allah swt.
Sejak akhir- akhir ini juga begitu banyak artikel dan entry dalam blog- blog yang berbicara soal hati dan cinta. Video- video di Youtube juga dipenuhi dengan isu- isu ini. Mungkin aku sahaja yang terperasan seorang diri atau mungkin juga perkara berkaitan hati sentiasa mendapat perhatian ramai orang. Aku tak salahkan orang- orang yang ingin berbicara isu ini, kerana aku tahu mereka berusaha untuk menyampaikan kebenaran. Bahkan aku suka melihat remaja- remaja yang menggunakan pelbagai medium untuk menyampaikan dakwah mereka. Kebanyakannya berkaitan haram bercouple dan kelebihan berumahtangga. Mereka berusaha untuk menyedarkan kawan- kawan di luar sana berkaitan pengharaman bercouple dan keindahan dalam berumahtangga. Semoga usaha- usaha mereka diberkati Allah swt.
Aku tertarik kepada satu video yang dipost di Youtube oleh Aiman Azlan. Rakaman video itu adalah berkaitan aduh!jiwa kacau; ceramah yang disampaikan di Kolej Mara Banting (tempat pengajianku suatu ketika dahulu). Jika pembaca ingin mendengar ceramah beliau, bolehlah ke channel aimanazlan90 di youtube. Di sini, aku ingin berkongsi beberapa perkara yang aku dapat daripada mendengar rakaman ceramah tersebut. Menurut beliau, hampir 98% orang tahu bahawa couple itu haram dan selebihnya 2% mungkin terlalu naif untuk mengetahui perkara tersebut. Tetapi, berapa ramai orang yang menganggap couple itu haram meskipun mereka tahu tentang hal ini? Kebanyakan orang cuma tahu tapi tidak memahami kerana mereka tidak menyelami maksud sebenar pengharaman tersebut. TAHU dan FAHAM adalah dua perkara yang berbeza. Kefahaman itu jauh lebih penting supaya ia dapat diaplikasikan dalam kehidupan. Sebab itulah kita lihat ramai anak muda terlibat dalam perbuatan ini. Tak hairanlah begitu banyak kes pembuangan anak, seks bebas dan macam- macam kes sosial yang lain di Malaysia. Tarbiyyah tidak sampai kepada mereka untuk memandu mereka ke jalan yang benar. Sudah menjadi tugas kita semua untuk saling menasihati antara satu sama lain untuk menyelamatkan anak bangsa kita.
Dalam video tersebut, aku tertarik kepada cara mengenali pasangan kita mengikut kaedah yang dibenarkan Islam. Mudah sahaja jika seseorang benar- benar ingin mendirikan rumah tangga yang diredhai Allah. Apabila seseorang lelaki itu telah tertarik dengan seseorang gadis, lelaki itu bolehlah mengenali gadis itu melalui kawan- kawannya. Bolehlah bertanya kepada kawan- kawan rapat si gadis tentang perkara- perkara yang perlu sahaja. Sebenarnya, bila dilihat kepada kawan- kawan si gadis boleh menentukan bagaimana perwatakan gadis tersebut. Tetapi untuk memastikan kesahihannya, bolehlah bertanya kepada kawan rapatnya. Apabila telah diketahui perihal si gadis, lelaki tersebut seharusnya melakukan solat istikharah meminta petunjuk dan pertolongan daripada Allah swt. Itulah jalan terbaik untuk menentukan sama ada si gadis adalah jodoh yang terbaik untuk lelaki itu. Jika jawapannya telah ditemui, maka teruskanlah dengan lamaran sama ada melalui orang tengah ataupun ibu bapa gadis tersebut sendiri. Subhanallah, cantik betul susunan proses mencari jodoh ini jika kita benar- benar menghendaki keredhaan Allah. Aku kagum tatkala mendengar perkara ini sebab ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk mencari seseorang yang akan menjalani kehidupan dengan kita sepanjang hayat tetapi jika kita meletakkan kebergantungan dan pertolongan daripada Allah, pasti akan terasa nikmat dalam berumahtangga tersebut. 
Jika ingin bercakap berkenaan video ini dari awal hingga akhir, mesti akan jadi macam thesis la panjangnya. Banyak lagi yang aku dapat daripada video itu tetapi adalah lebih baik kalau ditonton dan dinilai sendiri oleh setiap individu. Banyak faedah yang aku beroleh daripada video tersebut. Apa yang aku tulis adalah sebahagian perkara yang aku dapat daripadanya. Jazakumullah kepada aiman azlan yang meletakkan video tersebut di channel youtube miliknya. Semoga ramai lagi orang yang beroleh manfaat daripadanya.
Aku juga mengimpikan jodohku datang melalui cara sebegini dan selebihnya aku serahkan kepada Allah kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buat diriku. Kerana aku mengharapkan keredhaan Allah dalam kehidupanku bersama orang yang akan membawa dan membimbingku ke syurgaNya.

"Bila belum bersedia melangkah lebih jauh dengan seseorang, cukup cintai dia dalam diam. Kerana diammu adalah salah satu bukti cinta kepadanya. Kau ingin memuliakan dia dengan tidak mengajaknya menjalin hubungan yang terlarang. Kau juga tidak mahu merosakkan kesucian dan penjagaan hatinya." (being a doctor for ummah)

Sunday 22 January 2012

1: 9


Tahu tak apa maksudnya 1: 9 tue? Mesti pelbagai andaian muncul dengan wujudnya nisbah tu kan..Sebenarnya nisbah itu menunjukkan 9 exams telah selesai aku laksanakan dalam 1 semester. Ya, 9 exams dalam 1 semester.
Dulu, sebelum aku bergelar pelajar 4th year di sini, aku sangat takut dengan perubahan pembelajaran ini. 4th year bermaksud rotation akan bermula. Bila berakhirnya rotation tersebut, exam pula akan menyusul. Rotation untuk setiap subject adalah satu minggu dan bererti, ketika rotation yang lain bermula, exam untuk rotation yang sebelumnya perlu diselesaikan. Jika tidak, di penghujung semester seperti sekarang, pasti exam- exam ni akan terkumpul dan lagi banyak perlu diselesaikan.
Alhamdulillah, sehingga ke hari ni, aku dapat menyelesaikan exam tersebut setiap kali selesai sahaja rotation. Sekarang, bermulanya exam period, aku cuma ada 1 exam iaitu pharmacology. Untuk 2 exam lagi iaitu ethics dan State exam hygiene, aku merancang untuk menyelesaikannya ketika summer semester. Pharmacology bukanlah satu subject yang mudah. Macam- macam jenis ubat yang perlu dihafal yang kebanyakkannya mempunyai nama yang lebih kurang sama. Semoga, untuk exam pharmacology nanti, aku dapat menjawab dengan baik...
Sepanjang winter semester ini, terdapat 14 rotations dan 11 subject memerlukan peperiksaan di penghujungnya. Alhamdulillah aku dapat menyelesaikan 9 subjects di sepanjang semester ini. Maka, aku dapat fokuskan kepada exam- exam yang tinggal.
Esok bermulalah hariku untuk fokus dalam peperiksaan. Di saat seperti ini, semua orang berada dalam keadaan stress. Aku jugak tidak terlepas daripadanya. Aku berusaha untuk mengawal emosiku tapi kadangkala gagal. Namun, hanya kepada Allah sahaja tempat aku mengadu segala permasalahanku kerana aku tahu Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Semoga semua kawan- kawanku akan dipermudahkan dalam peperiksaan masing- masing. InsyaAllah..

Saturday 7 January 2012

Menjelajah bumi Liverpool & Manchester

Cuti krismas adalah saat yang paling ditunggu- tunggu kerana itulah salah satu cuti yang agak panjang bagi pelajar seperti di sini. Jika dibandingkan dengan pelajar di negara lain, cuti yang diberikan di sini untuk tahun 2011 sangatlah singkat berbanding tahun- tahun yang lain. Cuma sekadar 10 hari sahaja. International students yang lain merasa tertekan dengan cuti yang pendek ini sedangkan mereka sangat teruja untuk kembali ke negara masing- masing untuk meyambut perayaan Krismas. Aku? Sudah semestinya waktu cuti ini digunakan untuk menjelajah tempat- tempat menarik di sekitar Europe.
Jadi, destinasi pada cuti yang lalu adalah United Kingdom. Specifically: Liverpool & Manchester. Aku ke sana sendirian memandangkan kawan- kawanku yang lain mengalami masalah permohonan visa di sini. Jadi, agak susah untuk keluar daripada Czech Republic jika masalah visa masih belum selesai. Alhamdulillah, aku dipermudahkan dalam urusan visa ini dan perancangan awal untuk ke Spain bersama kawan- kawan terpaksa ditukar di saat- saat akhir dan akhirnya aku sendirian ke bumi Liverpool & Manchester.
Mujurlah aku punyai kawan baik di Liverpool yang sudi membawaku berjalan- jalan. Di Liverpool, tidak banyak tempat- tempat tinggalan sejarah seperti di Prague. Ia sangatlah berbeza dengan bumi Prague. Liverpool terkenal dengan shopping complex yang menempatkan banyak kedai- kedai yang berjenama. Mujurlah, ketika aku di sana, masih berlangsung Boxing Day. Jadinya, harga barang- barang yang berjenama boleh diperoleh dengan harga yang agak murah dan berpatutan. Aku berpeluang membeli winter coat di sana. Tapi, aku bukanlah kaki shopping yang teruja melihat diskaun- diskaun yang ditawarkan. Jika ia bukanlah satu keperluan, aku akan tolak ketepi dahulu dan mengutamakan apa yang penting. Lagipun, budget perbelanjaan perlu dikawal ketika di sana =). Aku juga melawat Albert Dock yang terkenal dengan anginnya yang sangatlah kuat. Museum- museum di sana menjadi tumpuan sebagai tempat mendapatkan haba kerana cuaca yang agak sejuk ditambah angin yang kuat. The Beatles juga berasal daripada Liverpool dan aku sekadar berjalan di luar museumnya sahaja kerana bayaran masuk dikenakan. Tempat lain yang dilawati adalah Stadium Liverpool: Anfield. Aku sekadar ke kedai souvenirnya sahaja dan membeli beberapa souvenirs untuk kenangan. Pada waktu malam, berpeluang untuk turut serta dalam majlis perjumpaan pelajar Liverpool dengan Dato Seri Nazri daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Selesai sahaja program, aku dan kawan- kawanku di Liverpool mempunyai satu misi besar. Mendownload filem ombak rindu dan menontonnya beramai- ramai di TV. Ia satu pengalaman yang menarik kerana aku dapat mengenali dengan lebih rapat housemates kawanku di Liverpool.
Keesokan harinya, aku ke Manchester. Sudah semestinya tempat yang wajid dilawati di Manchester adalah Stadium Manchester United: Old Trafford. Malangnya, pada hari itu, hujan membasahi bumi dan kesejukan menghalang aku untuk banyak berjalan- jalan di sana. Sebelum ke Stadium, aku dan kawanku mengisi perut dahulu. Di Manchester, terdapat satu jalan yang dipenuhi dengan kedai- kedai halal dan sudah semestinya ia menjadi satu kemestian untuk ke sana untuk melihat sendiri termpat tersebut. Kagum aku melihatnya. Jika nak dibandingkan dengan Prague, jauh sekali bezanya. Bermacam jenis juadah dapat dipilih di sana. Tetapi di Prague, asyik makan makanan yang sama sehinggakan tekak pun kadangkala dah tak boleh nak menerima. Tapi, aku tetap bersyukur kerana sekurang- kurangnya terdapat juga kedai halal di Prague untuk dikunjungi. Selesai makan, kami berhenti di University of Manchester. Rupa- rupanya uversiti ini terletak di dalam bandar dan kawasannya sangat luas. Di Olf Trafford, kami di bawa menjelajah keseluruh stadium selama 1jam lebih. Banyak tempat- tempat yang diperkenalkan kepada pengunjung tetapi memandangkan aku bukanlah die hard fan of manchester united, jadinya aku tidaklah terlalu excited dengan cerita- cerita yang diperdengarkan. Cukuplah sekadar aku dapat menjejakkan kaki ke sana dan mendengar serba sedikit tentang MU yang disanjung- sanjung oleh sesetengah orang. Souvenirs dibeli sebagai tanda aku pernah ke sana.
Pada malamnya, aku mengambil bas ke Birmingham Airport kerana flightku ke Prague adalah pada keesokan paginya. Walaupun agak keletihan, setidak- tidaknya cutiku dapat digunakan untuk berjumpa dengan kawanku yang sudah lama terpisah, hampir 4 tahun. Itulah tujuan asal aku ke sana. Untuk bertemu dengan kawan baikku di sana.
Semoga ikatan persahabatan kami akan terus kekal dan diingati. Semoga suatu hari nanti, kami akan dipertemukan lagi. Amin =)