topbella

Sunday 18 March 2012

Sakit adalah kafarah dosa

Janganlah bergantung kepada ubat dan doktor untuk sembuh
sebaliknya letakkan kebergantungan itu kepada Allah swt.
Setiap kali peralihan musim berlaku, hatiku gementar dan takut. Takut sekiranya penyakit yang melanda diriku akan menyerang kembali. Ya..sekarang, berlaku peralihan musim daripada musim sejuk ke musim bunga. Perkara yang aku takutkan berlaku sememangnya berlaku. Walaupun pelbagai cara yang aku lakukan untuk mengelakkannya daripada berlaku, dengan kuasa Allah, ia tetap berlaku. Aku sekadar hamba yang lemah tidak punya kuasa untuk menghalang kesakitan ini daripada berlaku. Aku terima dengan hati yang redha setiap ujian dan kesakitan yang menimpa kerana aku yakin akan perancangan Allah terhadapku.

" Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput daripada kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri." (Surah Al- Hadid: 22-23)


Rasulullah saw bersabda: "Tidaklah seorang muslim tertimpa kelelahan, sakit, gelisah, sedih, susah atau rasa sakit meski hanya duri yang menusuknya, kecuali Allah 'azza wajalla akan menghapuskan kesalahannya." (Hadis riwayat Ahmad) 

Dulu, aku selalu mengeluh tatkala aku diuji dengan kesakitan ini. Aku tertanya- tanya, "kenapa mesti perkara ini terjadi kepadaku?" Aku seolah- olah mempersoalkan ketentuan Allah. Namun, bila masa berlalu dan aku semakin matang, aku mula sedar yang aku silap. Aku tidak sepatutnya menyalahkan takdir dan ketentuan Allah. Kerana aku tahu, ujian dan kesakitan yang menimpa diriku adalah salah satu cara untuk Allah mengampunkan dosa- dosaku. Tapi, sekiranya aku mengeluh dan tidak menerima ujian ini dengan sabar, sudah pasti ia bukan lagi kafarah dosaku. Bahkan menambahkan dosaku kerana mempertikaikan ketentuan Allah. Tapi, sekiranya ia ditempuh dengan redha dan sabar, pasti Allah akan kurniakan ganjaran yang dijanjikanNya.

"Dan musibah apa pun yang menimpa kamu adalah kerana perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (dari kesalahan- kesalahanmu)." (Surah Asy- Syura: 30)

Ya, aku tahu bahawa kesakitan yang aku alami sekarang ini adalah akibat perbuatanku sendiri. Aku dulu pernah lalai dan alpa dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Walaupun sekarang aku bukanlah seorang yang cukup sempurna, sekurang- kurangnya aku mula berubah dan berusaha untuk berubah ke arah kebaikan. Ia bukanlah sesuatu yang mudah apabila pelbagai perkara di sekelilingku seringkali menjauhkan aku daripada kebaikan. Bila berada di luar negara dalam komuniti Islam yang sedikit dan Islam dipandang asing, aku sedar betapa specialnya aku sebagai seorang muslim. Sejujurnya, aku lebih mengenali dan memahami Islam yang sebenar apabila aku berada di Czech Republic berbanding di Malaysia. Sebuah negara Barat yang memperlekehkan umat Islam menjadikan aku seorang yang bangga dengan Islam. Aku bersyukur dihantar ke Prague kerana di sini, aku belajar untuk berubah dan menjadi seorang yang lebih baik. Semoga, aku akan lebih tabah dan sabar dalam mengharungi ujian dan dugaan yang menimpa diriku. Aku hanya mahu mengutamakan penilaian Allah terhadapku dan bukannya penilaian manusia. Kebaikan di sisi Allah jauh lebih bererti daripada kebaikan yang dinilai oleh manusia di sekeliling kita. Jom jadikan Allah sebagai cinta pertama kita!!!!

Setiap kali ditimpa kesakitan atau kesusahan, ayuh kita renung kembali dosa- dosa kita yang lalu dan beristighfar kepadaNya. Semoga Allah mengampunkan dosa- dosa kita. Perbanyakkan muhasabah diri kerana Allah sangat sayangkan kita, maka dengan itu Allah menguji kita supaya kita sentiasa ingat kepadaNya. Itu juga sebagai tanda perhatian Allah terhadap kita. SEBAB ALLAH SWT SAYANGKAN KITA (^_^)


 

No comments:

Post a Comment

Thanks kerana sudi membaca dan memberi comment. Comment- comment anda sangat saya hargai =)