topbella

Saturday 26 April 2014

Biarlah Ini Yang Pertama & Terakhir


Kebiasaanya, apabila selesai satu- satu peperiksaan, aku dan kawanku akan keluar ke bandar untuk merehatkan minda. Yela..7 minggu aku menghadap buku Surgery, memerap di rumah atau ke perpustakaan & makan apa yang ada di rumah. Inilah masanya untuk pergi ke bank untuk keluarkan duit, beli barang keperluan dan pada masa yang sama berehat.

Biasanya, aku dan kawanku akan keluarkan duit euro dari bank dan tukar ke duit koruna di money changer yang berhampiran dengan masjid. Memandangkan semalam adalah hari jumaat, kami bercadang untuk jalan- jalan di sekitar bandar sebelum ke money changer untuk mengelakkan bertembung dengan pelajar lelaki yang Solat Jumaat di sana. Sekitar jam 2.30 petang, kami berjalan ke arah masjid. Kelihatan ramai orang berdiri di luar bangunan, berhampiran tempat money changer. Dalam fikiranku, pasti ada sesuatu yang berlaku di sini. Tiba- tiba, sebuah trak polis dipandu laju di sebelah kami dan berhenti di hadapan pintu masuk bangunan untuk ke masjid. Yang menakutkan aku adalah, mereka bukanlah polis biasa yang selalu aku temui di tepi jalan, tetapi mereka adalah pasukan khas, lengkap dengan senapang rifle, topeng muka, dan baju kalis peluru. 

Aku tertanya- tanya apa yang berlaku. Dalam fikiranku, ada 2 perkara yang aku fikirkan. Pertama adalah kes penemuan bom seperti yang berlaku beberapa bulan yang lalu. Tapi, polis yang terlibat menyebabkan aku cenderung kepada perkara kedua iaitu pengganas. Tapi, di mana pengganas tersebut? Nauzubillah..tempat pertama yang terlintas di fikiranku adalah masjid di dalam bangunan tersebut. Ya Allah, semoga ia bukanlah satu kebenaran. Di dalam masjid tersebut, terdapat ramai pelajar Malaysia yang datang untuk menunaikan solat Jumaat kerana ia berhampiran dengan tempat kediaman dan universiti. Jika sesuatu berlaku di dalam masjid tersebut, apakah nasib pelajar Malaysia di dalam sana? Aku jadi takut tatkala memikirkannya.

Namun, apa yang aku sangkakan adalah satu kebenaran tatkala aku ternampak kelibat polis khas di luar pintu masjid. Semoga, mereka yang berada di dalam masjid dilindungi oleh Allah swt. Menurut cerita daripada pelajar- pelajar lelaki yang berada di dalam masjid tersebut, tatkala azan zohor dilaungkan, sekumpulan polis khas menyerbu masuk ke dalam masjid. Mereka diarahkan untuk meniarap di atas lantai, tidak membuat atau menerima panggilan telefon dan setiap orang diperiksa dengan sangat teliti. Beberapa orang jemaah digari dan dibawa keluar. Berlaku sedikit pergelutan tetapi tiada kehilangan nyawa. Alhamdulillah, semua pelajar Malaysia di dalam masjid tersebut selamat dan mungkin masih trauma dengan apa yang berlaku. Wakil kedutaan Malaysia datang untuk membawa keluar pelajar Malaysia. 4 jam mereka ditahan di dalam masjid. Solat Zohor dan Solat Jumaat terlepas begitu sahaja. Sehingga ke hari ini, masjid masih ditutup untuk siasatan. Sebuah lagi Masjid di Cerny Most turut diserbu pada masa yang sama. Ini bererti, mereka telah merancang untuk datang pada waktu Solat Jumaat kerana ramai orang muslim akan berkumpul.

Akhbar tempatan melaporkan bahawa masjid diserbu kerana dikatakan terdapat golongan yang menyebar fahaman anti- Semitism, unsur- unsur keganasan dan racism. 5 orang ditahan di masjid central Prague dan kes ini masih lagi dalam siasatan. Negara ini terkenal dengan penduduknya yang tidak beragama (atheist) tetapi apa yang menyedihkanku adalah komuniti Islam di sini ditindas. Ada cerita yang aku dengar daripada muslim di sini, bahawa mereka diberi layanan yang tidak baik hanya kerana mereka mengamalkan Islam. Ya Allah,  semoga akan ada masanya Islam dapat diamalkan dengan lebih terbuka di sini dan agar masyarakat di sini dapat bertoleransi dan berfikiran terbuka terhadap agama Islam.

Biarlah ia menjadi pengalaman pertama dan terakhir kawan- kawanku di sini. Semoga, ia tidak akan berulang lagi di masa hadapan. 

SE Surgery

Alhamdulillah..alhamdulillah..alhamdulillah...

Semalam, aku telah selesaikan satu lagi State Exam: SE Surgery. Bagiku, sepanjang aku menduduki peperiksaan di sini selama 6 tahun, inilah peperiksaan yang paling memenatkan mentalku. Bayangkan, terdapat 5 station yang perlu dilalui: Xray, Surgical Instrument + 1 soalan oral, Cardiovascular system (1 soalan oral), Fracture & trauma (1 soalan oral), station terakhir adalah ketua pemeriksa (2 soalan oral). Berbanding peperiksaan yang pernah aku lalui, pelajar akan diberi 15 minit untuk menyiapkan jawapan di atas kertas. Tapi, untuk peperiksaan semalam, belum sempat aku menulis jawapan, aku telah dipanggil dari satu station ke station seterusnya sehinggalah selesai. Aku hanya mampu merangka jawapan di dalam fikiran dan menjawab berdasarkan apa yang aku ingat. Tatkala sampai di station terakhir, aku dapat merasakan neuron yang berfungsi di dalam kepalaku sudah mencapai tahap maksimum, sedangkan ia adalah station penentu sama ada aku akan lepas atau tidak. Alhamdulillah, aku masih mampu bertahan dan menjawab sekadar termampu. Dengan izin & kehendakNya, aku berjaya dalam peperiksaan semalam.

Aku masih lagi berbaki 3 peperiksaan. 2 SE (Paediatrics, O&G), 1 peperiksaan biasa (Anaesthesiology). Ya Allah, semoga aku dapat selesaikan semua peperiksaan pada bulan Jun nanti agar aku dan kawan- kawanku yang lain dapat bergraduasi bersama- sama pada 30.07.2014.

Chaiyok!!!!!