topbella

Thursday 31 July 2014

Segulung Ijazah

Kami telah berjaya!!!
30 Julai 2014 bersamaan 3 Syawal 1435H adalah hari yang paling bermakna dalam hidupku. Setelah peperiksaan demi peperiksaan yang aku lalui selama 6 tahun di sini selesai, akhirnya aku akan diraikan dalam majlis yang sangat bermakna untuk setiap pelajar universiti. Ia adalah majlis graduasiku di sini. Majlis berlangsung tatkala kehangatan aidilfitri masih dirasai. 

Meskipun aku telah tamat pengajian pada 18.06.2014, namun dek kerana menunggu majlis graduasi yang diadakan selang beberapa hari daripada hari raya aidilfitri, maka pada tahun ini aku terpaksa berpuasa dan beraya di perantauan. Pada tahun 2008, buat pertama kalinya aku beraya di sini dan pada tahun ini, aidilfitri menjadi penutup perjalanan hidupku di bumi Prague. 

"Majlis graduasi di sini sangat unik". Itulah maklumbalas daripada seorang ayah yang datang untuk meraikan hari bersejarah anaknya. Katanya, bilamana anaknya menyatakan bahawa kami tidak dibenarkan untuk memakai jubah di dalam dewan semasa majlis berlangsung, dia merasakan sudah tentu majlis graduasi ini tidak menarik seperti di malaysia. Tetapi, apabila majlis selesai, si ayah tersenyum gembira tatkala bersembang dengan kami di luar dewan sementara menunggu anaknya keluar.

Ya. Aku sendiri pada mulanya merasakan bahawa majlis graduasi kami tidaklah sehebat di Malaysia. Tetapi, apabila aku sendiri menjadi orang yang diraikan, aku merasakan bahawa setiap graduan diraikan dengan penuh gilang gemilang. Memang benar kami tidak dibenarkan untuk memakai jubah semasa majlis berlangsung kerana ia adalah tradisi di sini. Namun, keunikan majlis ini masih mampu membuatkan aku tersenyum gembira.

Berbeza dengan majlis konvo di malaysia, setiap satu sesi cuma mengambil masa sejam. 40 orang graduan akan diiringi masuk ke dalam dewan dan akan berdiri di tengah- tengah dewan sepanjang majlis berlangsung. Ahli keluarga dapat melihat dengan dekat anak masing- masing menerima ijazah kerana tempat duduk telah disusun agar mereka berada dekat dengan anak mereka. Meskipun kedua ibu bapaku tidak dapat hadir untuk meraikanku, aku tetap gembira kerana aku bakal membawa segulung ijazah pulang sebagai hadiah kepada mereka kerana melahirkan dan membesarkanku. 

Aku dan kebanyakan rakan- rakan international yang lain diraikan dalam sesi pertama. Sesi kedua pula terdiri daripada beberapa orang graduan dari Malaysia dan kebanyakannya adalah graduan pergigian (dentistry). Dalam tempoh sejam majlis berlangsung, beberapa teks ucapan dibaca, satu persatu graduan diperkenalkan kepada hadirin yang hadir, graduan akan mengangkat sumpah: Spondeo ac polliceor (I promise I follow), graduan menerima scroll berisi sijil dan sebelum majlis berakhir, majlis beramah mesra di mana kesemua wakil rektor akan beratur dan bersalam dengan graduan yang diraikan. Itulah keunikan majlis graduasiku kerana aku benar- benar merasakan bahawa diri ini dihargai.

Meskipun jubah tidak dibenarkan dipakai di dalam dewan, kami mengambil keputusan untuk membuat tempahan jubah untuk dipakai di luar dewan untuk sesi bergambar. Sekurang- kurangnya ia menjadi kenangan dan sebagai bukti bahawa kami di sini turut berpeluang untuk kelihatan seperti seorang graduan di hari bersejarah kami.

Bagiku, aku berbangga menjadi graduan Charles University. Aku merasakan setiap titik peluhku selama 6 tahun di sini berbaloi apabila diraikan seperti ini. Meskipun aku mampu tersenyum di hari graduasiku, aku berharap agar senyumanku ini akan kekal dibibir sehinggalah aku tamat 2 tahun housemanship nanti. Kehidupan sebagai pelajar universiti telah pun berakhir dan tak lama lagi aku akan melangkah ke alam pekerjaan yakni dunia perubatan yang sebenar yang jauh lebih mencabar. Semoga aku diberi kekuatan untuk berhadapan dengan setiap cabaran yang akan tiba.