topbella

Thursday 26 May 2011

Info untuk adik- adik....


Untuk kali ini, aku akan cuba kongsikan dengan adik- adik semua tentang keadaan di sini terutamanya di Prague.

Finance
Berkenaan kewangan, aku rasa kebanyakan student di Czech tak menghadapi sebarang masalah. Duit elaun yang diberikan oleh penaja setiap bulan sebenarnya lebih dari cukup untuk digunakan dalam kehidupan. Selepas ditolak duit sewa hostel atau sewa rumah dan juga duit makan, boleh dikatakan hampir separuh daripada duit yang diperolehi dapat disimpan. Untuk yang tinggal di Prague, perbelanjaan agak tinggi tetapi masih lebih daripada cukup. Untuk yang belajar di HK dan Olomouc memang beruntung memandangkan sewa rumah amat murah di sana. Jadi, kesimpulannya memang perihal duit tak perlu dirisaukan. Mak dan ayah di Malaysia juga tak perlu risau tentang kewangan anak- anak. Asalkan pandai uruskan duit tersebut, InsyaAllah duit itu dapat disimpan dan digunakan apabila perlu. Selalunya, pelajar di czech nie, duit kebanyakannya digunakan untuk membeli buku, alat- alat elektronik yang menarik di hati dan juga melancong ke negara- negara yang menarik di Eropah nie. Dan yang paling penting, duit yang disimpan tue dapat digunakan untuk beli tiket balik malaysia setiap tahun. Dulu, orang- orang kampung aku sangat hairan sebab boleh dikatakan setiap tahun aku akan balik ke malaysia. Kadang- kadang 2 kali setahun bila ada kenduri terutamanya. Tapi, apa yang boleh aku katakan di sini adalah pentingnya pengurusan wang tue sendiri la. Kat sini cabaran untuk menghabiskan duit memang banyak. Untuk perempuan, tak terlepas untuk bershopping bila ada sale terutamanya ketika summer. Manakala untuk lelaki pula, keluar je gadget2 baru, mesti akan ada yang sanggup menghabiskan duit untuk membeli. Tapi, asalkan untuk memenuhi keperluan takpe la. Jangan membazir dan sampai tak cukup duit untuk bayar sewa rumah sudah. Nanti akan menyusahkan family kat malaysia pulak. Pandai- pandailah uruskan kewangan masing- masing memandangkan yang akan datang ke sini semuanya sudah hampir mencecah 20 tahun. Dah tahu memikirkan consequences untuk setiap apa yang dilakukan.

Ukhuwah
Ukhuwah di sini memang tak dapat dinafikan. Sebaik sahaja keluar daripada balai ketibaan di airport, adik- adik pasti akan disambut oleh senior- senior yang berada di Prague. Untuk yang akan study di HK dan Olomouc, akan ada senior- senior yang sanggup turun ke Prague semata- mata untuk menyambut ketibaan adik- adik semua. Kalau dulu first time sampai di airport yang sangat asing bagi semua orang, perkara yang paling menyeronokkan mestilah bila dapat melihat orang- orang malaysia yang berada di sini. Selain tue, selalunya wakil Bested memang akan menunggu di airport untuk menguruskan perihal hostel dan sebagainya. Di sini, banyak program- program yang melibatkan student malaysia antara ketiga- tiga lokaliti (Prague, HK, Olomouc) dianjurkan. Antaranya ialah Igames, McD (Medical career Day) dan macam- macam lagi. Hubungan pelajar dengan embassy juga sangat rapat. Embassy selalu jugak menganjurkan program- program tertentu untuk pelajar di Czech. Bila raya, open house mesti akan diadakan di rumah ambassador. Selain tue, akan ada macam- macam event yang dianjurkan oleh pihak kedutaan. Bila dah rindu sangat nak makan makanan malaysia, time open house tue la masa yang sesuai untuk melepaskan kerinduan tue sebab kebiasaannya hidangan yang dihidang semuanya masakan tradisional malaysia. Jadi, boleh dikatakan ukhuwah di Czech ini sangatlah rapat. Kalau ada sebarang masalah, selalunya senior- seniorlah yang akan menjadi tempat rujukan. Terutamanya permasalahan dalam study, pengalaman daripada senior- senior kadang- kadang membantu untuk meneruskan pengajian di sini. Jangan segan silu untuk bertanya jika ada masalah. Di sini, semua orang kita anggap macam keluarga. Saling bantu- membantu dalam semua perkara.

Life
Life di sini tak ada bezanya dengan tempat- tempat lain. Cuma, untuk yang baru sampai mungkin akan sedikit terkejut memandangkan budaya di sini jauh berbeza dengan budaya di Malaysia. Tetapi, lama kelamaan pasti akan dapat menyesuaikan diri. Orang- orang di sini ada sebahagiannya sangat friendly dan open- minded. Tetapi ada juga yang akan memandang serong kepada orang luar terutamanya bagi muslimah yang memakai tudung. Tapi yang penting kita kena izzah la dengan agama kita sendiri dan tak perlu takut dengan pandangan orang. Orang- orang di sini asalkan kita tak ganggu dan kacau mereka, mereka tak akan ganggu dan kacau kita. Selalunya masa untuk berada di luar agak terhad. Penat seharian berada di kelas, balik ke hostel atau rumah mesti nak berehat. Keesokkannya keluar untuk ke kelas semula. Life di sini lebih kurang macam tue la. Balik dari kelas, kena study untuk test dan exam yang bakal menjelang. Tapi, weekend masih ada untuk keluar berjalan- jalan. Di sini, kena pandai dan tahu bahagikan masa antara study dan main- main. Mungkin bila winter, keluar dari rumah keadaan masih gelap dan bila balik ke rumah pun keadaan dan gelap memandangkan pukul 5 ptg dah gelap. Jadinya, winter memang hibernate la jugak dan jarang keluar rumah sebab waktu siang sangat pendek. Bila summer menjelang, waktu siang sangat panjang dan bila kelas habis pukul 4 ptg pun masih boleh berjalan- jalan merehatkan fikiran. Jadi, tak perlu la anggap sesiapa yang belajar di czech ini tak ada life. Life tue ada cuma bergantung kepada macam mana nak uruskan life tue. Kita yang akan menentukan sama ada life akan jadi macam tak ada life atau life yang sangat happening. Kata orang, bila study serius study dan bila main kena serius bermain jugak. Banyak tempat- tempat menarik di sini yang boleh dikunjungi untuk berehat atau study. Semuanya bergantung kepada diri masing- masing.

Sunday 15 May 2011

Info untuk adik- adik yang akan ke Czech..terutamanya Prague


"Bismillahhirrahmanirrahim...Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Lancarkanlah diri ini untuk menyampaikan sedikit ilmu yang Engkau pinjamkan kepadaku. Semoga ia bermanfaat kepada semua..Amiin"

Ana di sini sudah mula mendengar- dengar perkhabaran bahawa akan ada adik- adik yang akan fly ke Czech. Itu memang tak dinafikan. Cuma siapa dan berapa orang, aku masih belum tahu memandangkan masih ada adik- adik yang menduduki final exam. Jadi, kepada sesiapa yang memilih czech sebagai tempat untuk melanjutkan pelajaran, Alhamdulillah....Kepada yang masih memilih dan czech adalah salah satu pilihannya, semoga blog ini dapat membantu anda membuat keputusan. InsyaAllah...

Apa yang akan aku ceritakan adalah berdasarkan pengalaman peribadi. Ambillah ikhtibar mana yang elok dan yang tidak elok jadikanlah ia sebagai pengajaran. Aku bukanlah seorg yg perfect untuk menyampaikan hal ini. Cuma, terlintas di hati untuk menolong adik- adik semua setakat yang ana termampu.

Persediaan mental
Kolej persediaanku adalah salah sebuah kolej di Selangor dan aku mengambil IB bukannya A-level. Boleh dikatakan hampir kesemua pelajar yang memilih negara untuk melanjutkan pelajaran akan memilih Ireland dan UK. Aku juga adalah salah seorg drpd mereka. Cerita- cerita yang didengar berkenaan dua negara ini menjadikan ia sebuah negara impian semua orang. Tetapi sudah semestinya tempat untuk setiap negara adalah terhad. Nak dipendekkan cerita, aku gagal dalam interview ke salah sebuah negara tue. Masa tue aku merasa sgt sedih dan pilihan yang tinggal cumalah czech dan australia. Aku membuat keputusan untuk memilih czech berbanding Australia adalah kerana semester pertama bermula pada bulan Feb atau Mac tahun seterusnya. Jadi aku memilih czech dan keputusan itu dibuat dalam tempoh 24 jam memandangkan borang perlu dihantar segera untuk diproses. Saat itu, aku hanya mampu bertawakal. Alhamdulillah, aku mendapat tempat di Prague selepas selesai entrance exam dan interview. Jadi, aku hanya perlu fokuskan kepada final exam yang semakin dekat. Sebaik sahaja keputusan final keluar pada bulan Ogos(kalau aku tak salah), aku bersyukur sgt dgn keputusan yang diperolehi. Keputusan tue sebenarnya jauh lebih baik drpd yg aku sangkakan dan ia sebenarnya melayakkan aku untuk ke dua buah negara impianku sebelum ini. Tapi, sudah tertulis aku akan ke czech, tiada siapa pun dapat merubahnya meskipun keputusan yang aku perolehi boleh dikatakan cemerlang. Lebih menyedihkan apabila aku mendapat tahu hampir kesemua classmate aku akan ke salah sebuah negara tersebut dan aku akan dicampakkan ke czech. Aku berasa inferior ditambah lagi dengan kata- kata orang yang mengatakan czech tue tempat terakhir pilihan pelajar dan pelajar kurang cemerlang dihantar ke sini. Astagfirullah...Biarlah dengan kata- kata orang itu dan 3 tahun aku berada di sini, aku berani untuk menafikan kata- kata tersebut. Itu satu penyataan yang SALAH....
Adik- adik, jika anda terpilih untuk ke Czech terutamanya Prague, janganlah merasa inferior. Bersyukurlah kerana anda terpilih untuk ke sini. Sebenarnya anda adalah orang yang sangat SPECIAL untuk dipilih untuk berada di sini. Mungkin orang kampung yang bertanya kemana adik- adik akan fly tak tahu dimana czech sebenarnya. Bahkan ada yang salah sangka czech dengan chechnya. Sudah semestinya ia dua tempat yang berbeza. Disini sangat aman dan damai. Yakinkahlah kedua ibu bapa anda bahawa czech ini sebuah negara yang sangat sesuai untuk dijadikan tempat menuntut ilmu. Bukan sahaja ilmu perubatan, bahkan ilmu- ilmu lain. Ingat!!!! ANDA SPECIAL KERANA TERPILIH UNTUK KE SINI.

Study
Berkenaan study, adik- adik bolehlah baca di entryku yang pernah aku tulis sebelum ini. Tapi aku nak ingatkan bahawa untuk mempelajari bidang perubatan, tidak ada jalan mudah mahupun jalan singkat untuk berjaya. Perubatan satu bidang yang sangat mencabar. Kemana pun anda melangkah, ia bukanlah satu subject yang mudah. Tak kira anda belajar di czech, UK, Ireland, Australia, India, dll. Mungkin khabar angin yang anda dengar berkenaan study di Czech susah, adalah kerana exam yang dijalankan dalam bentuk lisan (orally). Tapi, sesusah manapun exam tersebut, ilmu yang dipelajari adalah sama. Untuk exam oral, aku tak nafikan ia agak susah. Persediaan perlu dibuat dengan sesempurna mungkin. Tak boleh nak baca apa yang kita rasa best je sbb tak tahu apa prof akan tanya. Tapi, advantagenya ialah anda akan menguasai ilmu tersebut secara menyeluruh. Ilmu tue dapat dikaitkan antar satu sama lain. Bahkan exam secara oral dapat tingkatkan self confidence untuk bercakap dengan orang. Berkenaan self confidence, aku sangat setuju 100% memandangkan aku sebelum nie seorg yang sangat pendiam, tidak banyak bercakap. Kalau nak bercakap dengan orang memang sangat nervous. Tapi, setelah melalui beberapa oral exam di sini, ana menjadi lebih yakin, tiada lagi rasa takut untuk bercakap dengan orang terutamanya orang asing. Lagipun, suatu masa nanti apabila kita menjadi doktor, kita akan berjumpa dengan ramai orang yang juga asing bagi kita. Sekurang- kurangnya ini adalah preparation awal ke arah kerjaya nanti. Yang paling penting, di sini anda akan merasakan kebergantungan nasib dan diri kepada Allah swt. Walau sebanyak mana pun anda baca, tapi jika tak disulami dengan doa dan tawakal, ia adalah sesuatu yang sangat merbahaya. Hanya Allah yang mampu menolong kita ketika di dalam dewan exam. Pelbagai cara akan ditolong oleh Allah, sama ada kita akan mendapat soalan yang mudah, prof tak bertanya banyak, tak perlu exam semua jawapan prof dah berpuas hati, Allah turunkan ilham di saat kita memerlukan. Hanya Allah yang memegang hati prof- prof tersebut. Ingat!!!oral exam melibatkan kita dengan human being yang sgt subjective berbanding menulis di atas kertas. Jadi berdoalah kepada pencipta manusia itu sendiri kerana Dia lebih mengetahui perihal diri manusia. Walau apa pun, usaha tak boleh diketepikan. Setiap usaha pasti akan digantikan dengan hasil yang memberangsangkan. Jangan pernah putus asa kepada Allah.

Untuk info- info lain (finance, life), aku akan updatekan di kemudian hari....InsyaAllah..
Semoga bermanfaat kepada semua

Tuesday 10 May 2011

Best experience in Surgery


Walaupun dalam kesibukan untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun yg bakal menjelma, aku masih luangkan juga masa untuk mencurahkan cerita- cerita menarik di sini.
Mungkin pengalaman ini adalah satu kebiasaan bagi sesetengah pelajar medic, tapi bagiku yang masih bertatih dalam bidang nie, pengalaman yang bakal aku ceritakan ini adalah satu pengalaman yg tak akan aku lupakan.
Setelah 12 minggu belajar Surgery, hari ini adalah hari yang paling menyeronokkan. Sebelum ini, aku berpeluang untuk masuk ke Operation Room (OR) di negara ini. Kali pertama berada di OR memang menyeronokkan. Tetapi lama kelamaan semakin membosankan kerana kami sebagai pelajar Third Year hanya mampu untuk melihat apa yang surgeon lakukan. Kalau bernasib baik, surgeon yang terlibat akan menerangkan situasi yang berlaku. Kalau tidak, kami akan berdiri di satu sudut sambil melihat apa yang surgeon lakukan. Setakat ini, aku berpeluang untuk melihat surgery 1) distal ulnar fracture 2) mastectomy due to breast cancer 3) surgery of melanoma 4) lobectomy of the lung 5) cholecystectomy. Selain ke OR, pelajar juga berpeluang untuk ke Outpatient department (ambulance) of general surgery and traumatology. Untuk Outpatient general surgery, kebanyakan pesakit yg datang adalah untuk control. Penyakit yg selalu dihadapi adalah pilonidal sinus, inguinal hernia, removal of suture after surgery, dll...
Untuk Outpatient Department of Traumatology, pesakit yang datang selalunya menghadapi masalah berkaitan tulang. Untuk kali pertama aku berpeluang ke Outpatient traumatology, aku diberi peluang untuk melihat kes cubaan bunuh diri.
Seorang pakcik yang aku rasa dalam lingkungan 50 tahun cuba bunuh diri. Kata doktor, dia cuba bunuh diri pada pukul 4 pagi. Paramedic hantar pesakit tue ke surgery department dalam pukul 9 pagi. Nasib pakcik tu sangat baik. Walaupun lebih kurang 5 jam dari tempoh dia cuba bunuh diri, dia masih mampu bernafas dan dapat diselamatkan. Bila pesakit tue dibawa masuk ke bilik, dia mengeletar dan nampak sangat pucat. Mungkin sebab dah kehilangan banyak darah. Nurse bagi infusion pada pesakit tue. Kata doktor jugak, pesakit tue right handed. Dia cuba bunuh diri dengan memotong pergelangan tangan dengan pisau razor.
Untuk tangan kiri, kesan potong agak panjang tapi tak terlalu dalam. Tendon masih intact. Cuma ada blood vessels yang terpotong. Doktor kemudian buat suture pada fascia dan kulit pesakit. Untuk tangan kanan pulak, ingatkan tak terlalu serius tapi tangan kanan jauh lebih teruk daripada tangan kiri. Kesan potongan sangat dalam dan terkena radial artery, salah satu artery yang sangat penting. Aku diberi peluang untuk menolong doktor tersebut untuk melakukan suture of the artery. Bayangkan artery yang sangat kecil perlu dijahit dengan berhati- hati untuk memastikan darah dapat dihantar semula ke tangan. Aku menolong doktor tersebut untuk menahan pengaliran darah dengan menekan pergelangan tangan pesakit tersebut. Walaupun cuma beberapa minit, baru aku tahu yang betapa penat dan letih untuk kekal statik. Aku tak boleh bayangkan kalau dalam OR yang berjam- jam lamanya, aku perlu menolong surgeon tersebut. Alhamdulillah, radial artery dapat disambung dan pesakit semakin stabil.
Aku tak tahu apakah yang difikirkan oleh pakcik tue sehingga dia sanggup untuk bunuh diri. Tapi ternyata bukan masanya lagi untuk meninggalkan dunia ini, dan dia diberi peluang untuk terus hidup. Diharapkan pakcik tue tak akan mengulangi lagi hal nie.

Sunday 1 May 2011

Rumahku Syurgaku

Semasa zaman kanak- kanak, aku selalu dengar orang menyebut rumahku syurgaku. Tapi, saat itu, apa yg aku faham adalah kehidupan yg bahagia yg dilalui oleh sebuah keluarga. Alhamdulillah, aku juga dikurniakan sebuah keluarga yang penyayang dan memahami.
Kehidupan aku semasa kanak- kanak banyak dihabiskan di sebuah kampung di Pulau Pinang. Aku sememangnya anak jati Pulau Pinang memandangkan aku dilahirkan dan membesar di sana. Semua ahli keluarga aku berasal daripada Kedah dan sebaik sahaja aku dilahirkan, keluargaku berpindah ke Pulau Pinang.
Menjelang remaja, aku banyak menghabiskan masa di tempat- tempat lain kerana aku bersekolah berasrama penuh. Meskipun aku anak terakhir dalam keluarga, tetapi aku merasakan diriku tidak semanja anak- anak bongsu yang lain. Mungkin kerana sejak awal lagi aku sudah diajar berdikari oleh ibu bapaku. Alhamdulillah, tunjuk ajar mereka sangat berguna sehingga ke hari ini meskipun sekarang aku berada jauh beribu batu daripada mereka. Maka, kuranglah sedikit kebimbangan mereka kerana takutkan anak bongsu mereka tidak mampu sendirian di tempat yg sangat asing.
Kadangkala, aku sebagai remaja terlalu mengikutkan perasaan dan tanpa sedar aku mungkin telah melukakan hati ibu bapaku. Penyesalan menjengah ke dalam diri sebaik sahaja aku sedar akan kesilapanku. Kemaafan daripada mereka amat aku harapkan supaya kehidupanku di tempat asing ini diberkati. Maafkan anakmu ini, mak dan ayah....
Setiap kali tiba musim cuti, hati ini memberontak untuk segera balik ke kampung halaman. Bertemu dengan mak dan ayah yang amat dirindui. Selama berjauhan, hanya suara mereka sahaja yang menjadi pengubat rindu. Perkara pertama yang akan aku lakukan sebaik menjejakkan kaki ke rumah adalah menatap wajah mak dan ayahku sepuas- puasnya. Sebelum pulang, pelbagai perkara yang aku rancang untuk aku lakukan dengan mereka. Tolong mak masak, tolong kemas rumah dan macam- macam lagi.
Tahun ini, kepulanganku ke kampung bukan lagi di Pulau Pinang. Sebaliknya, aku akan disambut dengan rumah baru di Kedah. Itulah kali pertama aku akan menjejakkan kaki ke dalam sebuah rumah, yang mungkin sangat asing bagiku kerana inilah kali pertama dalam hidupku, aku berpindah ke sebuah tempat baru. Aku akan memulakan kehidupan baru di sana, berkenalan dengan orang kampung yang baru. Semoga aku diberi kekuatan untuk berhadapan dengan semua itu.
Sebab perpindahan keluargaku hanya mampu aku pendamkan sahaja. Mungkin, ini yang terbaik yang Allah rancang untuk familyku. Walaupun pada awalnya amat perit untuk diterima, memandangkan keluargaku hanyalah sebuah keluarga yang biasa. Bukan daripada golongan atasan yang berpendapatan tinggi untuk dengan mudah dapat membina sebuah rumah baru dalam sekelip mata. Namun, alhamdulillah kini semuanya telah selesai. Allah telah mempermudahkan jalan untuk keluargaku. Pelbagai sumber perlu dicari demi terbinanya sebuah rumah. Aku bersyukur kerana di kesempatan ini, aku berpeluang untuk membantu dan membalas jasa ibu bapaku. Meskipun pertolonganku hanyalah dari kejauhan, semoga dengan sedikit pertolongan itu, ia dapat meringankan bebanan ibu bapaku.
Cuti semakin menghampiri dan harapanku cuma satu. Agar aku dapat bertemu dengan keluargaku dalam suasana yang penuh dengan kasih sayang. Kepulanganku kali ini adalah dengan satu matlamat: menggembirakan hati mak dan ayahku. Bagaimana caranya???? Wallahualam...Aku serahkan segala- galanya kepada Allah swt..Semoga Dia mempermudahkan urusanku sehingga ke saat itu.