topbella

Thursday 19 September 2013

Ujian datang tanpa ku duga

18hb September. Aku menjejakkan kaki ke bumi Prague untuk menghabiskan pengajianku di sini. Alhamdulillah, aku telahpun berada di tahun akhir pengajian dan inshaaAllah lama lagi aku akan kembali ke malaysia untuk berkhidmat sebagai seorang doktor.
Tatkala aku sampai di depan pintu rumah, segala kegembiraanku pulang ke sini lenyap apabila ternampak notis polis yang dilekatkan seperti arahan 'No Entry'. Ditambah pula keadaan pintu rumah yang tak kelihatan seperti saat ia ditinggalkan.Aku hilang punca. Tak tahu apa yang harus aku lakukan. Dengan beg yang berat, mana mungkin aku mampu pergi ke tempat lain. Aku nekad untuk masuk ke dalam rumah kerana aku perlu mengecas handphone untuk menelefon polis tersebut.
Apabila kaki melangkah masuk, yang kelihatan cuma pintu pintu bilik yang terbuka. Aku memberanikan diri untuk masuk ke dalam bilik. Laci almari yang terbuka menangkap pandangan mataku. Keadaan rumah masih kemas seperti tiada apa yang berlaku. Aku masuk ke bilikku dan mencari sebarang keganjilan yang mungkin ada. Laci almari turut terbuka. Aku mencari kotak duit,tablet dan syiling yang aku tinggalkan. Alhamdulillah semuanya masih ada.
Aku maklumkan hal ini kepada rakan serumahku yang masih belum pulang. Dia meminta aku mencari tablet, duit dan laptopnya. Laptopnya yang sedikit tersembunyi masih ada di situ. Cuma tablet dan duitnya telah tiada. Anngaran kerugian dalam lingkungan belasan ribu koruna. Menyamai ribuan ringgit malaysia. Aku bersimpati kepadanya atas apa yang telah berlaku.
Setelah handphone di cas dan di topup, aku menelefon polis tersebut. Masalah komunikasi berlaku kerana czechku yang sedikit berkarat selepas cuti yang lama. Mereka akan datang ke rumahku untuk melihat keadaan sebenar. Aku hubungi tuan rumah dan dia menceritakan apa yang telah berlaku. Memang benar ada orang yang telah masuk ke rumah ini semasa ketiadaan kami. Katanya dia datang seminggu yang lalu dan ternampak pintu rumah yang terbuka. Lalu dia membuat laporan polis sementara menunggu kami balik.
Polis datang dan alhamdulillah seorang daripadanya mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Aku di soal siasat berkenaan kejadian ini. Pasukannya datang untuk mendapatkan bukti yang ditinggalkan pencuri. Kejadian seperti yang aku tonton di kaca TV kini berlaku dalam hidupku. Aku membantu sedaya termampu meskipun keletihan selepas penerbangan yang panjang.
Setelah pihak polis pulang, aku membuat keputusan untuk tinggal di rumah kawanku sementara menunggu rakan serumahku balik. Masih ada perkara yang belum selesai dan kami perlu berjumpa dengan mereka semula untuk membantu siasatan. Semoga segalanya akan dipermudahkan.
Inilah pertama kali dalam hidupku aku perlu berdepan dengan situasi sebegini seorang diri. Ditambah pula perlu berurusan dengan pihak di sini yang tersangatlah asing bagiku. Kejadian ini tak mungkin akan aku lupakan. Salah satu pengalaman hidup yang aku kutip tatkala berada di bumi prague ini. 

Aku berterima kasih kepada pihak polis di sini yang sangat professional dalam menguruskan hal ini. Mereka tidak bersikap prejudis memandangkan kami bukanlah penduduk tetap di sini. Aku hormat mereka dan pekerjaan mereka. Terima kasih tak terhingga juga kepada rakan rakan yang memberikan sokongan walau di mana mereka berada.
TERIMA KASIH SEMUA..DEKUJU MOC..