topbella

Thursday 21 November 2013

Facebook: mengumpat dan menfitnah cara moden

Setelah sekian lama tak menulis, aku terpanggil untuk berkongsi sedikit rasa hati tentang apa yang telah aku perhatikan selama ini.
Zaman sekarang, teknologi semakin canggih. Setiap detik pasti akan ada teknologi baru yang akan dilancarkan. Baik gadget, kereta atau aplikasi yang akan sentiasa diupdate dari semasa ke semasa. Aku tahu kerna aku juga memiliki gadget dan menggunakan aplikasi yang disediakan. Namun, aku tertanya, sejauh mana kita (aku dan kawan-kawan semua) gunakan semua teknologi tersebut dengan cara yang betul? 
Aku punya facebook, blog, twitter, dan instagram. Itu aku tak nafikan. Aku suka membaca dan kebanyakkan medium tersebut aku gunakan untuk membaca isu- isu terkini yang berlaku di luar pengetahuanku. 
Namun, sejak akhir-akhir ini, aku perhatikan semakin banyak berita yang tidak benar tersebar di laman sosial terutamanya facebook. Dengan satu butang klik sama ada share atau like, dalam sekelip mata, berita yang berlaku seminit yang lalu dapat tersebar dengan pantas ke seluruh dunia. Hebatkan teknologi ni. Mungkin lagi laju daripada cahaya kot..Haha =) 
Berita yang tidak diketahui kesahihannya disebarkan daripada seorang manusia kemudiannya menjadi tatapan dan bahan bacaan berjuta manusia lain di luar sana. Kadangkala ia melibatkan nyawa, maruah, dan sensitiviti keagamaan seseorang. Bila artis hebat yang dikagumi yang memiliki ramai follower menyebarkan berita yang sama, maka makin ramailah orang yang akan mempercayai berita tersebut. Maka timbullah 2 kumpulan manusia: kumpulan yang membenarkan berita tersebut dan kumpulan yang menyangkal kesahihan berita itu. Dengan serta merta, berlakulah perang saraf, perang mulut,  fitnah menfitnah,  dll. Hanya dengan satu berita, dunia boleh jadi huru hara. Ngerikan..
Kata orang; "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya." Itulah realiti yang berlaku pada hari ini. Aku tidak nafikan, ada berita yang benar yang baik untuk disebarkan tetapi mana yang diragui kesahihannya, janganlah disebarkan sesuka hati tanpa dikaji terlebih dahulu. Tak pasal pasal dapat saham free nanti.
Selain berita palsu, facebook juga menjadi medan luahan perasaan nombor satu ketika ini. Apa apa perkara yang berlaku, facebook dan twitter menjadi pendengar nombor satu kita. Sedangkan ada Pendengar nombor satu yang kita lupa yang sentiasa mengetahui apa yang berlaku kepada diri kita. Sepatutnya Dialah yang menjadi pendengar utama kita.
Kawan kawanku ramai yang telah memulakan tugas sebagai doktor pelatih (HO) sedangkan aku masih bertarung dengan peperiksaan tahun akhir. Aku tahu jslan HO yang dipilih bukanlah satu jalan yang ditaburi bunga mahupun dihampar karpet merah. Tetapi ia boleh dikategorikan sebagai mimpi yang tak indah (belum mencecah mimpi ngeri atau buruk)  yang sebolehnya kita ingin cepat terjaga daripada tidur itu. Stress, tension kena marah, tak cukup tidur, cuti yang pendek, kerja yang bertimbun, takde life dll menjadi sebahagian daripada hidup HO. Tapi, walau apa pun yang berlaku di hospital sana, janganlah diluahkan dalam facebook yang menjadi bacaan ramai orang. Kadang- kadang, luahan perasaan tersebut bertukar menjadi satu umpatan yang tanpa kita sedari terutamanya apabila kita membalas komen kawan-kawan yang bertanya tentang situasi sebenar .
Jika ingin berkongsi pengalaman sekalipun, pilihlah ayat yang baik. Kerana pengalaman itu boleh menjadi pengajaran kepada kawan- kawan yang lain. Malangnya dek kerana rasa marah yang tidak tertahan, satu umpatan telah berlaku. Satu lagi saham masuk ke dalam account kita. 
Itulah sebabnya aku katakan yang facebook adalah cara moden untuk mengumpat dan menfitrah. Tak perlu duduk beramai ramai seperti dulu. Hanya kita dan laman sosial, segalanya boleh terjadi. 
Kita seperti boneka yang menari dan melakonkan sebuah drama di atas pentas. Para penonton di luar sana bertepuk tangan bergembira dengan persembahan kita. Persembahan yang kita sangka hebat sebaliknya telah dirancang oleh pihak tertentu untuk melihat kita terus lalai dan menjadi boneka mereka. Mereka gembira melihat kita berbalah di antara satu sama lain, bertikam lidah, bermusuhan dan memutuskan silaturrahim. Itulah taktik halus yang digunakan sesetengah pihak di luar sana untuk menjatuhkan kita.
Apa yang ingin aku nyatakan disini: 
★Berhati hatilah tatkala menyebarkan sesuatu berita. Periksa kesahihannya terlebih dahulu agar kita punya hujah untuk berbicara. 
★Tak salah untuk meluahkan perasaan di laman sosial. Tetapi pilihlah ayat yang baik agar tidak menjadi bahan umpatan.


SHARING IS CARING BUT ONLY IF YOU SHARE MEANINGFUL THINGS ♥

Thursday 19 September 2013

Ujian datang tanpa ku duga

18hb September. Aku menjejakkan kaki ke bumi Prague untuk menghabiskan pengajianku di sini. Alhamdulillah, aku telahpun berada di tahun akhir pengajian dan inshaaAllah lama lagi aku akan kembali ke malaysia untuk berkhidmat sebagai seorang doktor.
Tatkala aku sampai di depan pintu rumah, segala kegembiraanku pulang ke sini lenyap apabila ternampak notis polis yang dilekatkan seperti arahan 'No Entry'. Ditambah pula keadaan pintu rumah yang tak kelihatan seperti saat ia ditinggalkan.Aku hilang punca. Tak tahu apa yang harus aku lakukan. Dengan beg yang berat, mana mungkin aku mampu pergi ke tempat lain. Aku nekad untuk masuk ke dalam rumah kerana aku perlu mengecas handphone untuk menelefon polis tersebut.
Apabila kaki melangkah masuk, yang kelihatan cuma pintu pintu bilik yang terbuka. Aku memberanikan diri untuk masuk ke dalam bilik. Laci almari yang terbuka menangkap pandangan mataku. Keadaan rumah masih kemas seperti tiada apa yang berlaku. Aku masuk ke bilikku dan mencari sebarang keganjilan yang mungkin ada. Laci almari turut terbuka. Aku mencari kotak duit,tablet dan syiling yang aku tinggalkan. Alhamdulillah semuanya masih ada.
Aku maklumkan hal ini kepada rakan serumahku yang masih belum pulang. Dia meminta aku mencari tablet, duit dan laptopnya. Laptopnya yang sedikit tersembunyi masih ada di situ. Cuma tablet dan duitnya telah tiada. Anngaran kerugian dalam lingkungan belasan ribu koruna. Menyamai ribuan ringgit malaysia. Aku bersimpati kepadanya atas apa yang telah berlaku.
Setelah handphone di cas dan di topup, aku menelefon polis tersebut. Masalah komunikasi berlaku kerana czechku yang sedikit berkarat selepas cuti yang lama. Mereka akan datang ke rumahku untuk melihat keadaan sebenar. Aku hubungi tuan rumah dan dia menceritakan apa yang telah berlaku. Memang benar ada orang yang telah masuk ke rumah ini semasa ketiadaan kami. Katanya dia datang seminggu yang lalu dan ternampak pintu rumah yang terbuka. Lalu dia membuat laporan polis sementara menunggu kami balik.
Polis datang dan alhamdulillah seorang daripadanya mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Aku di soal siasat berkenaan kejadian ini. Pasukannya datang untuk mendapatkan bukti yang ditinggalkan pencuri. Kejadian seperti yang aku tonton di kaca TV kini berlaku dalam hidupku. Aku membantu sedaya termampu meskipun keletihan selepas penerbangan yang panjang.
Setelah pihak polis pulang, aku membuat keputusan untuk tinggal di rumah kawanku sementara menunggu rakan serumahku balik. Masih ada perkara yang belum selesai dan kami perlu berjumpa dengan mereka semula untuk membantu siasatan. Semoga segalanya akan dipermudahkan.
Inilah pertama kali dalam hidupku aku perlu berdepan dengan situasi sebegini seorang diri. Ditambah pula perlu berurusan dengan pihak di sini yang tersangatlah asing bagiku. Kejadian ini tak mungkin akan aku lupakan. Salah satu pengalaman hidup yang aku kutip tatkala berada di bumi prague ini. 

Aku berterima kasih kepada pihak polis di sini yang sangat professional dalam menguruskan hal ini. Mereka tidak bersikap prejudis memandangkan kami bukanlah penduduk tetap di sini. Aku hormat mereka dan pekerjaan mereka. Terima kasih tak terhingga juga kepada rakan rakan yang memberikan sokongan walau di mana mereka berada.
TERIMA KASIH SEMUA..DEKUJU MOC..

Saturday 19 January 2013

Perkongsian Kuliah Tafsir Al- Quran & hadis 1

Surah Al- Fatihah

  • Mempunyai 21 nama: antaranya Al- Fatihah (pembuka), Ummu- Kitab, Al- Syafiyyah (penawar), Al- Wafiyyah (yang mencukupkan), As- solah (doa)
  • Pembuka: permulaan dalam Al- Quran & solat, merupakan pembuka sesuatu ibadah
  • Ia bukanlah ayat Al- Quran tetapi adab yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w
  • dibaca khususnya ketika hendak membaca Al- Quran
  • Apabila dibaca, ia membawa maksud:
    • Kita memohon agar dijauhkan daripada syaitan & dekat dengan Allah
    • kita memohon dengan Allah agar selamat daripada bahaya syaitan tak kira dalam ibadah mahupun adat yang kita lakukan
  • "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang"
  • Merupakan ayat Al- Quran
  • Apabila dibaca, bererti kita memohon pertolongan kepada Allah dalam semua perkara
  • Cara paling mudah untuk kita memohon pertolongan kepada Allah walaupun kita tidak membaca doa yang panjang
  • Ia mengiakan yang kita hanya memohon pertolongan kepada Allah sahaja
  • Dibaca sekurang- kurangnya 17 kali (dalam solat)
  • Apabila sesuatu adat dimulai dengan Bismillah, ia akan menjadi ibadah
  • Terdapat dalam semua ayat dalam Al- Quran kecuali surah At- Taubah
  • Allah ingin mengajar kita supaya semua perkara yang kita lakukan dimulai dengan Bismillah
Kesimpulan:
  • Jom amalkan!!! Allah sayang dengan kita.. Walaupun 2 ayat ini simple sahaja, tetapi ia membawa erti yang sangat mendalam.
  • Ayuh kita mulakan setiap urusan kita dengan ucapan Bismillah...

p/s: Ia adalah perkongsian yang saya perolehi daripada Kuliah yang di dianjurkan di sini. Jika terdapat sebarang kesilapan, saya memohon maaf. Niat saya ikhlas untuk berkongsi dengan pembaca semua.
Saya tak sempat menyalin nama buku yang menjadi rujukan ustaz tersebut kerana terlalu panjang. InsyaAllah, jika saya berpeluang, saya akan nyatakan nama buku rujukan tersebut.