topbella

Sunday 22 June 2014

Last Day of Med School

I will miss this moment. 
6 tahun. 
Ia bukanlah suatu jangka masa yang singkat. Aku tidak menyangka masa yang aku nanti- nantikan telahpun tiba. Di saat memegang status sebagai seorang pelajar perubatan, ia adalah suatu masa yang paling sukar bagiku. Setiap tahun selama 6 tahun aku perlu mengasah minda, mengerah tenaga yang ada untuk sentiasa berjaya dalam peperiksaan. Tipu jika aku katakan yang aku langsung tidak pernah punya niat untuk berputus asa. Kadang kala, di saat- saat yang sukar, itulah perkara yang terlintas di benak fikiranku. Namun, aku kuatkan tekad dan Alhamdulillah, dengan izinNya, aku akhirnya berjaya mengharungi saat- saat sukar tersebut.

2 tarikh yang akan aku ingat sampai bila- bila: 06.06. 2014 & 18.06.2014.

06.06.2014 adalah hari terakhir aku ke dewan kuliah & bergelar pelajar. Aku akan merindui suasana tersebut kerana selepas ini, aku akan memegang status sebagai seorang pekerja dan bukan lagi seorang pelajar. Aku tidak akan ke universiti tetapi tempatku selepas ini adalah hospital. Kawan- kawan yang aku kenali di sini akan sentiasa aku ingati. Di tahun akhir pengajian, kumpulan yang pada asalnya adalah 6 ketika di tahun 1, telah dibubarkan dan hanya tinggal satu sahaja kumpulan. 60 orang pelajar di dalam satu kumpulan besar & kami mengenali antara satu sama lain. Masing- masing akan membawa haluan hidup sendiri dan perkenalan dengan pelajar luar negara yang lain adalah salah satu memori yang tidak akan aku lupakan sampai bila- bila.

18.06.2014 pula adalah hari terakhir aku menduduki peperiksaan (State Exam) di sini. Alhamdulillah...Alhmadulillah...Alhmadulillah.Tarikh ini juga adalah hari di mana abangku dilahirkan 31 tahun yang lalu. Peperiksaan aku yang terakhir adalah SE Paediatrics. Jarak antara SE Obstetrics & Gynaecology dan Paediatics hanyalah seminggu. Aku sendiri terkedu tatkala aku memikirkan yang aku menduduki 2 peperiksaan besar dalam tempoh seminggu. Namun, setelah ditimbang buruk baik keputusanku itu, aku nekad untuk mencuba. Dalam mindaku, sekiranya telah tertulis di atas sana bahawa aku akan berjaya, tiada siapa pun yang akan dapat menghalangnya. Tetapi jika ditakdirkan aku gagal, aku perlu kuat dan menerima keputusan tersebut. 
Tempoh seminggu yang aku ada itu aku lalui dengan hari- hari yang paling sukar. Aku tertekan kerana aku perlu mempelajari banyak perkara kerana Paediatrics adalah satu subjek yang sangat luas. Meskipun aku telahpun membaca kesemua soalan ketika rotation Paediatrics, tetapi dek kerana rasa takut dengan pemeriksa, aku tangguhkan peperiksaan tersebut dan sekarang aku perlu terima akibat daripada penangguhanku itu. Jika aku selesaikan peperiksaan tersebut 3 bulan yang lalu, pasti aku tidak akan tertekan untuk membaca kesemua soalan dalam tempoh seminggu. Namun, Alhamdulillah, Allah izinkan aku untuk berjaya dan Dia telah mempermudahkan urusan aku dan juga kawanku. 

Selepas ini, orang akan memanggil namaku dengan gelaran doktor. Pangkat doktor yang dipegang itu membawa satu tanggungjawab yang sangat besar yang kadangkala membuatkan aku takut. Takut sekiranya aku tidak mampu menjalankan tugasku dengan baik. Cabaran selepas ini jauh lebih besar dan pastinya ia berbeza daripada cabaran- cabaran yang aku lalui semasa aku bergelar pelajar. Mungkin aku telah tamat pengajian tetapi belajar dan mencari ilmu pengetahuan itu adalah satu proses yang sentiasa berterusan. Mungkin bezanya, proses pembelajaran selepas ini lebih tertumpu kepada perkara yang berkaitan dengan kerjaya berbanding belajar untuk lulus dalam peperiksaan ketika berada di universiti. 

Hariku sebagai seorang pelajar perubatan telahpun sampai ke penghujungnya. Berakhirnya tugas sebagai pelajar bererti bermulanya tugas sebagai seorang doktor. Semoga aku diberi kekuatan untuk menempuhi kehidupan sebagai seorang doktor. 
"Terima kasih Ya Allah kerana dengan izinMu, aku berjaya menamatkan pengajianku di sini."

(*Dah lama tak tulis blog, susunan ayat pun dah jadi tunggang- langgang. Maaf atas kekurangan tersebut. InshaAllah akan cuba diperbaiki selepas ini*)