topbella

Friday 25 May 2012

Pani, to neni zima

Sekarang dah masuk musim panas. Cuaca di Prague semakin hari semakin panas. Kadang- kadang mencecah 27 degree celcius. Saat sebegini adalah cabaran yang besar bagi kami, pelajar Muslim di sini. Yang paling tercabar adalah muslim semestinya sebab ketika inilah iman akan tercabar dengan pandangan- pandangan yang tidak di ingini. Faham- faham je la kan...
Bagi muslimat pulak, cabarannya pasti berbeza. Musim panas macam ni, kami menjadi tumpuan dan perhatian ramai. Orang akan tengok dari kepala sampai ke kaki. Mungkin sebab pelik dengan cara kami berpakaian kot. Yela, tiada perbezaan dalam berpakaian sama ada musim panas atau musim sejuk. Tetap bertudung, berbaju lengan panjang dan berskirt labuh atau berseluar panjang. Sedangkan bagi orang- orang di sini, bila musim panas tiba, kebanyakan orang akan berpakaian nipis atau berpakaian yang macam dah tak cukup kain. (^_^) Mesti diorang pelik kot kenapa la budak- budak ni boleh bertutup macam tu sedangkan cuaca sangat panas. Apa- apa pun, ia bukannya satu kesalahan untuk berpakaian kan. Cuma, personally, aku agak rimas bila orang asyik melihat kita dari atas sampai bawah. Menjadi orang yang asing dalam sesuatu komuniti bukanlah satu perkara yang mudah. Tapi, semua tu harus diharungi dan ia menunjukkan yang kita adalah orang yang berprinsip. Bukan macam lalang yang boleh digerakkan angin ke kiri atau ke kanan.
Semasa aku dalam perjalanan balik ke rumah selepas selesai State Exam Hygiene & Epidemiology, aku disapa oleh seorang pakcik. Mungkin aku yang memakai baju kurung dan berkot menjadi perhatian diorang. Pakcik tu berkata: 
"Pani, to neni zima."
Ia membawa maksud "Puan, sekarang dah tak sejuk".
Hanya senyuman yang mampu aku balas kepada pakcik tu. Bagi orang- orang di sini, diorang sangat hairan bila kita tetap memakai tudung meskipun sekarang adalah musim panas. Mereka berpendapat yang ia adalah sekadar fesyen dan bukannya kewajipan agama. Meskipun dunia semakin maju dengan teknologi, ilmu berkaitan Islam masih belum sampai kepada mereka. Pernah sekali aku pernah ditarik tudung oleh seorang lelaki ketika melintas jalan. Itu adalah pengalaman yang paling menakutkan pernah aku lalui ketika berada di sini. Hampir- hampir menitis air mata bila mengenangkan perbuatan lelaki tersebut. Mujurlah dia tidak melakukan perkara yang lebih teruk daripada itu. Semua perkara memang tak boleh dijangka dan apa yang mampu aku lakukan adalah sentiasa meminta perlindungan daripada Allah setiap kali aku mahu keluar dari rumah. Hanya Allah sahaja yang mampu melindungi aku daripada semua perbuatan jahat manusia. 
Islam adalah asing di sini. Muslim di sini pasti akan dipandang pelik meskipun komuniti Islam semakin ramai. Kami di sini seperti duta kecil dan khalifah yang menjadi perhatian ramai. Setiap perlakuan dan perbuatan kami pasti akan diperhatikan. Meskipun kami tak dapat nak berdakwah secara terus kepada orang- orang di sini, semoga dengan perlakuan dan tingkah laku yang kami tonjolkan dapat membuka mata mereka tentang agama Islam yang sentiasa disalah anggap. Semoga mereka dapat mengetahui agama Islam adalah agama yang selamat dan membawa keamanan, bukannya pengganas seperti yang dikatakan.

No comments:

Post a Comment

Thanks kerana sudi membaca dan memberi comment. Comment- comment anda sangat saya hargai =)